PETALING JAYA, 7 JUN: Belia perlu menjadi ejen perubahan dengan menggunakan media sosial sebagai platform menyebarkan mesej pemuliharaan sungai dan memerangi sikap tidak bertanggungjawab yang menjadi punca pencemaran alam sekitar.
Peserta program Belia on Sungai (BOS), Nurul Balqis Muhamad Azizul, 18, berkata media sosial mampu menjadi medium berkesan untuk menyampaikan mesej berkaitan kepentingan menjaga alam sekitar khususnya sungai yang menjadi sumber penting kepada kehidupan.
Menurut beliau, penglibatan dalam program kesukarelawanan bukan sahaja memberi pengalaman baharu malah membantu meningkatkan kesedaran peserta terhadap isu pencemaran alam sekitar.

“Sejak di bangku sekolah lagi saya memang berminat menyertai program sukarelawan, namun baru sekarang berpeluang melibatkan diri dalam program seperti ini kerana usia saya baru 18 tahun.
“Program kesukarelawanan memberi banyak pendedahan kepada peserta dan secara tidak langsung membantu universiti atau industri mengenali individu yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, seorang lagi peserta, Khaviraj Karunanithi, 19, berkata kebersihan sungai perlu diberi perhatian kerana ia berkait rapat dengan kesihatan manusia serta kelestarian alam sekitar.
Beliau yang menyertai program berkenaan atas inisiatif sendiri berkata masyarakat perlu menghargai alam sekitar serta memainkan peranan dalam memeliharanya, selain menerapkan kesedaran menjaga kebersihan sungai dalam diri masing-masing.

“Kebanyakan masyarakat hari ini terlalu sibuk dengan kehidupan masing-masing sehingga kadangkala terlupa untuk menghargai alam sekitar yang menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.
“Sudah tiba masanya untuk kita bersama-sama mengambil tanggungjawab menjaga sungai dan memastikan ia terus bersih untuk generasi akan datang selain memperkukuh kesedaran masyarakat tentang kepentingan alam sekitar secara berterusan,” ujarnya.
Terdahulu, EXCO Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata program berkenaan bukan sekadar tertumpu kepada aktiviti pembersihan sungai, sebaliknya menjadi platform pendidikan lapangan kepada generasi muda.
Menurutnya, program yang julung kali melibatkan belia dan mahasiswa itu berjaya menghimpunkan 100 peserta daripada tiga institusi pengajian tinggi (IPT), sekali gus mencerminkan komitmen generasi muda terhadap usaha pemuliharaan sungai.
Program anjuran Penggerak Belia Selangor (PeBS) Bandar Utama itu melibatkan mahasiswa tiga IPT iaitu INTI College, UCSI University dan Brickfields Asia College (BAC) yang berjaya mengutip 528.9 kilogram (kg) sampah hasil aktiviti pembersihan di kawasan sungai dan kolam takungan berkenaan.










