PETALING JAYA, 6 JUN: Golongan belia terus diperkasa sebagai ejen pemuliharaan sungai menerusi Program Belia On Sungai (BOS) dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar dan sumber air.
Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo berkata program itu memberi pendedahan secara langsung kepada peserta mengenai cabaran pencemaran sungai, selain menggalakkan penglibatan aktif masyarakat dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.

“Keadaan beberapa sungai yang berdepan isu pencemaran memerlukan perhatian semua pihak dan tidak boleh diserahkan kepada agensi tertentu semata-mata. Justeru, setiap rakyat mempunyai tanggungjawab untuk memastikan persekitaran sentiasa bersih dan selamat.
“Kita akan terus memperbanyakkan program seumpama ini dengan kerjasama Ahli Dewan Negeri, pihak berkuasa tempatan dan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan agenda pemuliharaan sungai dapat diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program BOS di Kolam Tadahan Sungai Kayu Ara, Kampung Cempaka di sini, hari ini. Turut hadir EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin.

Gobind dalam pada itu turut memuji komitmen dan semangat ditunjukkan peserta, khususnya golongan belia, dalam menjayakan aktiviti pembersihan sungai dan pemuliharaan alam sekitar.
Katanya, penglibatan aktif generasi muda membuktikan mereka mempunyai kesedaran tinggi terhadap kepentingan menjaga kelestarian alam serta bersedia memainkan peranan sebagai ejen perubahan dalam memelihara sungai dan kawasan persekitaran.
Sementara itu, Jamaliah berkata program berkenaan bukan sekadar tertumpu kepada aktiviti pembersihan sungai, sebaliknya menjadi platform pendidikan lapangan kepada generasi muda.
Menurutnya, program yang julung kali melibatkan belia dan mahasiswa itu berjaya menghimpunkan 100 peserta daripada tiga institusi pengajian tinggi, sekali gus mencerminkan komitmen generasi muda terhadap usaha pemuliharaan sungai.
“Melalui program ini, peserta berpeluang mempelajari aspek penjagaan sungai secara langsung di lapangan dan memperoleh pengalaman sebenar yang tidak dapat diperoleh melalui pembelajaran teori semata-mata.
“Kita berharap program seperti ini dapat diteruskan setiap tahun dengan kerjasama semua pihak supaya lebih banyak sungai dapat dipulihara dan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar dapat dipertingkatkan,” ujarnya.

Program BOS merupakan anjuran Penggerak Belia Selangor Bandar Utama yang memfokuskan penglibatan sukarelawan belia termasuk mahasiswa daripada tiga IPT iaitu INTI College, UCSI University dan Brickfields Asia College.
Melalui program itu, peserta berjaya mengutip sebanyak 528.9 kilogram sampah hasil aktiviti pembersihan yang dijalankan di kawasan sekitar sungai dan kolam takungan berkenaan.








