BATU PAHAT, 6 JUN: Rundingan kerusi antara parti komponen dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dimuktamadkan hari ini, kata Setiausaha Agung HARAPAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata proses itu berjaya dicapai hasil rundingan yang melibatkan pimpinan parti Amanah, KEADILAN dan DAP.
"Saya nak sebut, baru sebentar tadi, petang tadi, kita telah selesaikan rundingan semua kerusi antara parti-parti HARAPAN. Terima kasih Abang Mat Sabu (Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu), terima kasih saudara Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya HARAPAN bagi PRN Johor yang turut dihadiri Perdana Menteri yang juga Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Saifuddin Nasution yang juga Naib Presiden KEADILAN berkata beberapa perincian akhir berhubung pembahagian kerusi akan diserahkan kepada kepimpinan HARAPAN Johor yang diketuai Pengerusinya Aminolhuda Hassan yang juga Pengerusi Amanah Johor.
Beliau berkata dengan selesainya rundingan kerusi itu, tumpuan HARAPAN kini beralih kepada persiapan jentera pilihan raya termasuk gerak kerja di lapangan, penyusunan logistik serta penyampaian mesej yang tepat kepada pengundi bagi memastikan kemenangan HARAPAN di Johor.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution turut menyelar tindakan pihak tertentu yang masih menggunakan politik identiti dan perkauman demi meraih sokongan politik.
“Taktik menakut-nakutkan rakyat kononnya kaum tertentu akan kehilangan kuasa atau agama sedang terancam merupakan 'politik ketakutan' yang sengaja direka untuk memecahbelahkan masyarakat.
“Saudara, Melayu, Cina, India ialah kebanggaan kita. Kita tidak diminta lahir sebagai Melayu, sebagai Cina, sebagai India, tidak. Itu fitrah yang telah pun diberikan kepada kita.
“Kerana itu pendekatan HARAPAN ialah bukan us versus them (kita lawan mereka). Pendekatan politik kita ialah kita semua bersama,” katanya.
Sebelum ini, HARAPAN mengumumkan akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN di Johor pada PRN akan datang.
Pada PRN lepas, HARAPAN memenangi 12 kerusi, Barisan Nasional (40), Perikatan Nasional (tiga) dan MUDA satu kerusi.








