SHAH ALAM, 18 JULAI: Paras air di Medan Selera 223, Petaling Jaya mula menunjukkan penurunan selepas kawasan berkenaan dilanda banjir petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 4.35 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya digerakkan ke lokasi.
Ashrul Riezal Asbar berkata pemeriksaan mendapati paras air ketika ketibaan anggota mencapai kira-kira dua meter, namun keadaan beransur pulih dan tiada mangsa dilaporkan terjejas.
"Komander operasi lapor benar terdapat banjir berkedalaman 2 meter semasa anggota sampai di lokasi.
"Air menunjukkan trend menurun dan tiada mangsa yang terlibat atau pemindahan yang dilakukan," katanya dalam kenyataan.

Seramai 12 anggota BBP Petaling Jaya bersama sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) terlibat dalam operasi pemantauan di lokasi yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai berkenaan.
Terdahulu, rakaman langsung yang tular menerusi aplikasi TikTok memaparkan kawasan medan selera itu dinaiki air dengan paras hampir mencecah pinggang.
Beberapa peniaga dilihat memindahkan barangan serta kelengkapan perniagaan ke kawasan lebih tinggi, manakala orang awam turut membantu mengurangkan risiko kerosakan akibat banjir.








