HAMILTON, 5 JUN: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis memberi amaran bahawa krisis tenaga di Cuba yang semakin meruncing menjejaskan perkhidmatan penting secara serius, termasuk penjagaan kesihatan, pengeluaran makanan dan operasi bantuan kemanusiaan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Bercakap pada sidang media, jurucakap PBB Stephane Dujarric berkata kesan gabungan “krisis tenaga, susulan perintah eksekutif Amerika Syarikat (AS) dan sekatan lain, selain taufan serta bencana alam lain, adalah meluas dan semakin meningkat setiap hari.”
“Semua perkhidmatan asas, daripada bekalan air bersih dan sanitasi hingga pengeluaran makanan serta sektor kesihatan, terjejas akibat kekurangan bahan api dan elektrik,” katanya.
Dujarric berkata “lebih 100,000 pembedahan terpaksa ditangguhkan berikutan kekurangan serius ubat-ubatan dan bekalan perubatan yang diperlukan.”
Beliau berkata PBB dan rakan-rakannya mempunyai “pelan tindakan untuk membantu sehingga dua juta orang”, namun krisis tenaga menyukarkan usaha menyampaikan bantuan.
“Krisis tenaga juga mengehadkan keupayaan kami untuk menghantar bantuan yang sudah diperuntukkan, dengan puluhan kontena makanan dan bekalan perubatan masih berada di pelabuhan kerana kekurangan bahan api untuk membawanya keluar,” katanya.
Cuba berdepan kekurangan bahan api yang teruk dan gangguan bekalan elektrik yang meluas sejak beberapa bulan kebelakangan ini ekoran sekatan AS yang diperketat, termasuk embargo minyak yang dikenakan pada Januari.








