PRN Sarawak mungkin diadakan Disember ini sebelum mandat tamat

17 Okt 2026, 9:32 AM
PRN Sarawak mungkin diadakan Disember ini sebelum mandat tamat

KUCHING, 17 OKT: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak berkemungkinan besar diadakan Disember ini sebelum mandat Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada Februari tahun depan, kata Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata walaupun Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg belum mengumumkan tarikh pembubaran DUN, Disember ini menandakan genap lima tahun sejak PRN terakhir diadakan pada 18 Disember 2021.

Mengikut peruntukan undang-undang, PRN wajib diadakan dalam tempoh 60 hari sebaik sahaja DUN dibubarkan.

“Saya melihatnya begitu. Walaupun beliau (Abang Johari) dijangka mengumumkan tarikh itu pada penghujung bulan ini atau pada November, pilihan raya itu perlu diadakan pada Disember. Namun, kelazimannya pada Disember ramai bercuti.

“Sebab itu ada pihak yang mengatakan hingga Februari, manakala ada yang menyatakan hingga Disember. Namun, saya merasakan kemungkinan besar Disember kerana tempoh itu menandakan berakhirnya lima tahun,” katanya pada sidang media Anugerah Pertandingan Menulis anjuran DayakDaily di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata tempoh untuk mengadakan PRN kini semakin singkat dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengambil kira faktor takwim perayaan sebelum menetapkan tarikh pengundian.

“SPR apabila mereka hendak menentukan tarikh, perlu mempertimbangkan musim perayaan. Januari perayaan Tahun Baharu Cina. Selepas itu (Februari) bulan Ramadan. Mustahil untuk diadakan pada Januari dan Februari,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Karim dilaporkan berkata DUN Sarawak dijangka dibubarkan pada November atau dua minggu selepas Belanjawan Sarawak 2027 diluluskan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.