El Nino cetus krisis makanan, 16 kawasan dunia berdepan ancaman kelaparan

28 Nov 2026, 12:17 AM
El Nino cetus krisis makanan, 16 kawasan dunia berdepan ancaman kelaparan
El Nino cetus krisis makanan, 16 kawasan dunia berdepan ancaman kelaparan

NAIROBI, 28 NOV: Program Makanan Sedunia (WFP) dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) semalam memberi amaran mengenai kesan fenomena cuaca El Nino terhadap keterjaminan makanan di Afrika dan Amerika Tengah, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Laporan yang diterbitkan kedua-dua organisasi PBB itu mengenal pasti 16 kawasan tumpuan krisis kelaparan, meningkat daripada 13 pada Jun.

Menjelang Mac 2027, sehingga tiga juta penduduk di Zimbabwe, 2.6 juta di Malawi dan 1.8 juta di Mozambique diramalkan berdepan ketidakjaminan makanan akut yang teruk.

Musim penanaman pertama tahun ini di Koridor Kering Amerika Tengah merupakan yang paling kering dalam tempoh empat dekad, dengan kehilangan hasil tanaman melebihi 75 peratus di banyak kawasan, menurut laporan itu.

Di Guatemala sahaja, 3.2 juta penduduk dijangka berdepan ketidakjaminan makanan akut yang teruk antara Oktober 2026 dengan Februari 2027.

Bagaimanapun, selain El Nino, konflik turut menyumbang kepada ketidakjaminan makanan akut di 12 daripada 16 kawasan tumpuan krisis itu.

Lima kawasan dikategorikan sebagai amat membimbangkan iaitu Sudan, Sudan Selatan, Somalia, beberapa kawasan di Nigeria dan Yaman.

Keadaan paling kritikal berlaku di Sudan dan Sudan Selatan, dengan risiko kebuluran dikenal pasti di kedua-dua negara itu, menurut laporan berkenaan.

El Nino turut menimbulkan risiko kesihatan, khususnya di kawasan yang mengalami peningkatan curahan hujan bermusim.

Di Somalia, kes kolera dan penyakit lain akibat air tercemar meningkat, menurut organisasi bantuan Doctors Without Borders (MSF).

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.