DUNGUN, 5 JUN: Keluarga empat mangsa yang maut dalam nahas di Simpang Renggam, Johor pada Isnin lepas bercadang mengambil tindakan undang-undang termasuk memfailkan tuntutan pampasan terhadap individu yang disyaki menyebabkan kemalangan itu.
Fauziah Abdullah, 59, berkata tindakan tersebut diambil bagi menuntut keadilan kesemua mangsa, iaitu anaknya, Mohd Aiman Mohd Rashid, 36, menantu, Nor Azlina Latif, 33, cucu, Nur Airish Syifa Sidek, 10, dan besannya, Semek Mat Soh, 73.
Bagaimanapun, katanya, urusan berkaitan tuntutan itu diserahkan kepada anak-anaknya termasuk proses melantik peguam bagi mengendalikan kes berkenaan.
"Saya sangat sedih kerana bukan hanya kehilangan satu-satunya cucu perempuan, malah tiga lagi ahli keluarga hilang sekelip mata dipercayai angkara kecuaian orang lain," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Setia, Al Muktafi Billah Shah, di sini hari ini.
Fauziah berkata keluarganya mengambil sedikit masa bagi meneruskan tindakan tersebut kerana masih berada dalam keadaan terkejut dan sedih susulan tragedi berkenaan.
Sementara itu, bapa Nur Airish Syifa, Sidek Abd Hamid, 42, berkata pihak keluarga akan mengadakan perbincangan tentang proses tuntutan berkenaan dengan pihak peguam dalam tempoh terdekat ini.
"Yang kami terkilan ialah kemalangan ini dipercayai berpunca daripada perbuatan lumba haram," katanya.
Dalam kemalangan pada 1 tengah hari Isnin lepas, Mohd Aiman bersama-sama isteri, ibu mentua dan anak saudaranya, Nur Airish Syifa, maut selepas kenderaan yang dinaiki terbabit dalam kemalangan melibatkan beberapa buah kenderaan.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas sebuah BMW 530e hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira serta sebuah Mercedes-Benz.
Pemandu BMW 530e itu turut dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.








