SHAH ALAM, 5 JUN: Usaha memperkukuh kualiti hidup dan persekitaran bandar di SS15, Subang Jaya diteruskan menerusi pelaksanaan Kajian Placemaking yang menilai keperluan kawasan itu dari aspek fizikal, sosial dan ekonomi.
Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata kajian berkenaan bertujuan mendapatkan pandangan penduduk serta pemegang taruh bagi membantu merangka pembangunan yang lebih responsif terhadap keperluan komuniti setempat.
Menurut MBSJ, penilaian turut memberi tumpuan kepada beberapa aspek penting termasuk penambahbaikan pengurusan trafik, pengukuhan jaringan pengangkutan awam dan pengaktifan ruang awam bagi mewujudkan persekitaran bandar yang lebih kondusif.
“Pihak berkuasa akan menilai potensi kawasan dari aspek-aspek tersebut dengan mengfokuskan penambahbaikan pengurusan trafik, pengukuhan jaringan pengangkutan awam serta pengaktifan ruang awam.
“Diharapkan kajian ini dapat menjadi asas kepada pembangunan bandar yang lebih mampan dan inklusif,” menurut MBSJ menerusi hantaran di Facebook.

Sesi libat urus bagi kajian tersebut dilaksanakan MBSJ bersama Think City dengan kerjasama penduduk serta pemegang taruh di Dewan Serbaguna MBSJ SS15, Subang Jaya semalam.
Program berkenaan turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze.








