SHAH ALAM, 5 JUN: Sekurang-kurangnya 8,000 rakyat Selangor dijangka menjalani saringan kesihatan percuma tahun ini untuk mengesan awal penyakit serius, termasuk barah dan penyakit tidak berjangkit (NCD).
EXCO kesihatan awam berkata inisiatif menerusi Selangor Saring di lebih 40 lokasi seluruh negeri menangani kebimbangan lewat mengesan penyakit kronik kerana kurang menjalani pemeriksaan berkala.
“Kalau mengikut piawaian doktor ataupun Kementerian Kesihatan, kita sepatutnya menjalani saringan kesihatan setahun sekali, namun tidak ramai yang melakukannya mungkin kerana bebanan kos.
“Jadi apa yang kita cuba lakukan adalah menggalakkan warga Selangor mempunyai budaya menjalankan saringan kesihatan satu kali setiap tahun,” kata Jamaliah Jamaluddin.
Jelasnya, antara penyakit kerap dikesan ialah diabetes, darah tinggi, kolesterol, masalah buah pinggang kronik selain pelbagai jenis barah termasuk prostat, pangkal rahim, kolorektal dan payudara.
Dalam pada itu, beliau berkata saringan turut tertumpu kepada warga emas dengan penilaian kesihatan lebih khusus sebagai persediaan Selangor menghadapi masyarakat menua.
Diperkenal pada tahun lalu, Jamaliah menjelaskan inisiatif berkenaan penting bagi memastikan golongan tersebut kekal sihat, aktif dan menikmati kehidupan berkualiti.
“Saringannya agak berbeza, tidak seperti biasa. Contohnya dalam satu minit berapa jauh mereka boleh berjalan, kekuatan genggaman tangan dan tahap kecergasan mereka.
“Apa yang dilakukan Kerajaan Negeri adalah memastikan kesihatan rakyat daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur terus dijaga supaya mereka dapat hidup lebih berkualiti,” katanya.
Sebanyak RM2.5 juta diperuntuk dalam Belanjawan Selangor 2026 bagi meneruskan program Selangor Saring yang menyediakan kemudahan ujian kesihatan percuma kepada rakyat.









