Pulang dari kuliah Maghrib, Ustaz Hamdi maut selepas kereta terbabas ke sungai

26 Nov 2026, 8:43 AM
Pulang dari kuliah Maghrib, Ustaz Hamdi maut selepas kereta terbabas ke sungai
Pulang dari kuliah Maghrib, Ustaz Hamdi maut selepas kereta terbabas ke sungai

SHAH ALAM, 26 NOV: Seorang guru takmir daerah Segamat yang dilaporkan hilang sejurus menyampaikan kuliah Maghrib malam Rabu, ditemukan meninggal dunia selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam sungai berhampiran Ladang Mados, Segamat.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 7 pagi tadi, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Axia yang dipandu mangsa, Ustaz Hamdi Abdul Razab, 34, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam Sungai Anak Sungai Kapeh.

"Mangsa tidak mengalami kecederaan luaran, namun dipercayai meninggal dunia akibat lemas di sungai berkenaan," katanya.

Terdahulu, kehilangan mangsa disedari isterinya, 28, selepas beliau masih belum pulang ke rumah dan tidak dilihat keluar melalui pintu pagar utama ladang berkenaan selepas waktu Isyak.

Beberapa kakitangan ladang turut membantu mencari mangsa kerana pada awalnya menyangka beliau tersesat di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, usaha pencarian terpaksa dihentikan berikutan hujan lebat dan paras air sungai yang semakin meningkat.

Isteri mangsa kemudian membuat laporan polis kira-kira jam 1 pagi.

Mohd Jumazanzahir meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Adzrull Hisham, menerusi talian 07-9325811 bagi membantu siasatan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.