SHAH ALAM, 4 JUN: Kerajaan Selangor terus mempergiat usaha mempercepatkan proses pewartaan tanah penempatan Orang Asli di daerah Petaling bagi memastikan hak serta kebajikan komuniti berkenaan.
EXCO Hal Ehwal Orang Asli, V Papparaidu berkata mesyuarat penyelarasan pewartaan tanah Kampung Orang Asli daerah Petaling yang dipengerusikannya menjadi platform menyelaras tindakan antara pelbagai agensi terlibat.
“Antara kawasan yang dibincangkan ialah Kampung Orang Asli Bukit Bandaraya (Air Kuning), Bukit Lanjan (Desa Temuan dan Desa Riang), Sungai Rasau Hilir serta Sungai Rasau Hulu.
Perbincangan turut meneliti status tanah termasuk kawasan yang telah dibangunkan, tanah berstatus hak milik, kawasan dalam proses permohonan pewartaan serta cadangan kawasan baharu bagi keperluan generasi akan datang,” katanya di Facebook.
Mesyuarat yang diadakan di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling itu turut disertai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) serta Pejabat Daerah dan Tanah Petaling.
Papparaidu berkata perbincangan turut menyentuh tentang penyerahan kemudahan awam, status perizaban tanah, proses pengukuran dan penyediaan pelan oleh jurukur berlesen serta kelulusan yang melibatkan JPNS.
Katanya, Kerajaan Negeri komited memastikan proses pewartaan dapat dipercepatkan melalui kerjasama erat semua agensi berkaitan khususnya membabitkan kawasan dalam rizab hutan yang memerlukan proses perizaban semula mengikut peruntukan undang-undang.
Dalam pada itu, Papparaidu berharap segala tindakan susulan yang dipersetujui dapat dilaksanakan segera bagi memastikan penyelesaian lebih menyeluruh dan mampan demi kepentingan komuniti Orang Asli di daerah Petaling.









