Individu, kumpulan mahu sertai SAR Jaslinda perlu mohon, disaring bomba

4 Jun 2026, 6:50 AM
Individu, kumpulan mahu sertai SAR Jaslinda perlu mohon, disaring bomba
Individu, kumpulan mahu sertai SAR Jaslinda perlu mohon, disaring bomba

IPOH, 4 JUN: Individu atau kumpulan yang berhasrat menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih, Tapah baru-baru ini, perlu membuat permohonan sebelum disaring oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak Sabarozi Nor Ahmad berkata proses saringan perlu dilakukan bagi tujuan keselamatan dan penyelarasan.

Beliau berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah akan bertindak mengumpul maklumat pergerakan individu atau kumpulan yang ingin terlibat dalam misi pencarian skala kecil itu setelah mereka melaporkan diri ke BBP tersebut bagi tujuan kelulusan masuk kawasan Hutan Simpan Kekal oleh Jabatan Perhutanan.

"Penyertaan akan disaring oleh pihak JBPM berdasarkan tahap kecergasan, pengalaman, kompetensi dan kepakaran yang dimiliki.

"Pihak JBPM akan membantu memberi penerangan dari aspek kawasan pencarian serta memastikan peralatan serta kelengkapan yang dibawa masuk adalah bersesuaian dengan objektif pencarian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata berdasarkan maklumat daripada Jabatan Perhutanan Perak, kawasan berkenaan ditutup buat sementara untuk pendakian bagi tujuan rekreasi kepada orang awam.

Sementara itu, Sabarodzi berkata setelah Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) ditutup semalam dan operasi hanya dijalankan secara skala kecil melibatkan bomba, malim gunung serta komuniti Orang Asli setempat, dengan pihak JBPM selanjutnya akan membantu berdasarkan penemuan serta maklumat terkini dan situasi semasa.

"Setakat hari ini masih terdapat lapan anggota STORM (Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia) JBPM Perak bersama dua MGP (Malim Gunung Perhutanan) yang berada di lapangan di sektor pencarian dan dijangka keluar pada petang ini," katanya.

Semalam, Sabarodzi memaklumkan operasi SAR Jaslinda akan diteruskan dengan pendekatan lebih tertumpu berdasarkan maklumat atau petunjuk baharu yang diterima.

Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua MGP memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki, bagaimanapun kerani di sebuah syarikat swasta itu dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat pada 24 Mei.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.