SHAH ALAM, 8 JUN: Pendaki Jaslinda Saludin, 49, yang ditemui selamat selepas 14 hari hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih di Tapah dilaporkan kehilangan hampir 10 kilogram (kg) sepanjang tempoh berada di dalam hutan.
Bagaimanapun, wanita tersebut menunjukkan perkembangan yang sangat baik sejak menerima rawatan di Hospital Tapah.
Pengarah Hospital Tapah Dr Wan Immi Salim berkata terdapat perbezaan ketara pada keadaan fizikal Jaslinda berbanding sebelum beliau dilaporkan hilang.
“Terdapat perbezaan ketara antara keadaan beliau sewaktu dilaporkan hilang dan ketika ditemui. Kami menganggarkan beliau mungkin kehilangan hampir 10kg.
“Bagaimanapun, keadaannya stabil dan terus menunjukkan pemulihan. Beliau boleh makan, bercakap dan berkomunikasi seperti biasa,” katanya kepada pemberita hari ini seperti dilapor BH.
Menurut beliau, Jaslinda dijangka terus berada di bawah pemerhatian beberapa hari lagi sebelum dibenarkan pulang.
Katanya, jika proses pemulihan berjalan lancar, wanita itu berkemungkinan dibenarkan keluar hospital dalam minggu ini.
"Jaslinda kini menerima rawatan bagi luka dan calar yang dialami sepanjang tempoh berada di dalam hutan selain kecederaan pada kaki yang memerlukan pemasangan simen separa," katanya.
Dr Wan Immi berkata pihak hospital turut menjalankan pemeriksaan menyeluruh selepas Jaslinda memaklumkan beberapa kali terjatuh ketika cuba mencari jalan keluar.
“Ketika kami mula merawatnya, beliau memaklumkan beberapa kali terjatuh, terutama pada peringkat awal kehilangan itu. Beliau dilaporkan terjatuh kira-kira lima meter ke dalam gaung, yang menyebabkan beliau hilang arah dan keliru.
“Disebabkan insiden tersebut, kami menjalankan pemeriksaan menyeluruh untuk memastikan tiada kecederaan pada kepala atau otak.
“Setakat ini, Alhamdulillah, tiada bukti kecederaan pada kepala atau otak beliau. Kecederaan yang dikenal pasti hanyalah luka luaran dan calar,” katanya.
Jaslinda sebelum ini dibawa keluar dari Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh dekat Tapah oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sebelum dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut.







