SHAH ALAM, 7 SEPT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam pendaki Ekspedisi Trans Gerah di Gunung Gerah, Kelantan berakhir dengan kelegaan apabila kesemua mereka berjaya dibawa keluar dari kawasan pendakian malam ini.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman berkata semua mangsa tiba di Kampung Lelar kira-kira jam 8.45 malam selepas ditemukan selamat di Kem Kulim.
“Mereka kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Pos Kemar, Gerik, untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.
“Perkembangan operasi sehingga jam 9.20 malam mendapati semua mangsa berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Kesemua mangsa sebelum itu ditemukan di Kem Kulim oleh pasukan malim gunung dari Perak dan Kelantan yang melibatkan 10 anggota.
Enam individu terbabit terdiri daripada empat sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak serta dua malim gunung.
Terdahulu, Abdul Samad mengesahkan kumpulan berkenaan berada dalam keadaan selamat selepas pihaknya berjaya menghubungi seorang malim gunung yang bersama mereka.
Pasukan penyelamat kemudian digerakkan bagi membawa semua mangsa keluar dari kawasan pendakian.
Operasi SAR sebelum itu turut dipergiat dengan penglibatan pesawat Mi-17 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Pangkalan Udara Subang bagi melakukan tinjauan udara di sekitar laluan pendakian.







