Enam pendaki hilang berjaya dihubungi, semuanya selamat

7 Sep 2026, 11:56 AM
Enam pendaki hilang berjaya dihubungi, semuanya selamat

IPOH, 7 SEPT: Enam individu termasuk dua kanak-kanak yang dilaporkan hilang ketika merentasi laluan Gunung Trans Gerah, Lojing, Gua Musang berjaya dihubungi dan memaklumkan mereka berada dalam keadaan selamat, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Abdul Samad Othman berkata pihaknya menerima maklumat tentang keadaan kumpulan berkenaan kira-kira 5.30 petang tadi selepas ahli keluarga berjaya menghubungi seorang daripada malim gunung yang menyertai kumpulan tersebut.

“Kita cuma boleh sahkan mangsa sudah dapat dihubungi, mereka memaklumkan kepada ahli keluarga bahawa mereka dalam keadaan selamat.

“Bagaimanapun, kita belum jumpa mangsa lagi sebab mereka masih berada di lokasi pendakian dan pasukan penyelamat akan bergerak untuk bertemu dengan mereka sebelum membawa keluar sama ada hari ini atau esok. Mereka dipercayai berada dalam kawasan Perak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata keadaan sebenar semua mangsa termasuk kemungkinan ada antara mereka yang mengalami kecederaan masih belum dapat disahkan sehingga pasukan penyelamat berjaya menemukan mereka.

Abdul Samad berkata kaedah membawa keluar kumpulan berkenaan sama ada melalui jalan darat atau udara akan ditentukan berdasarkan keadaan dan lokasi mereka selepas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya bertemu dengan mangsa.

“Proses SAR hanya akan tamat selepas semua mangsa berjaya dibawa turun,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Datuk Sayani Saidon berkata signal asap yang dikesan menerusi tinjauan udara helikopter JBPM yang membantu pasukan SAR menganggarkan lokasi enam mangsa yang dilaporkan hilang itu berada di kawasan hutan Pos Kemar, di sini.

Beliau berkata berdasarkan tinjauan udara, lokasi mangsa dianggarkan kira-kira sejam perjalanan dari Kem Kulim.

Sayani berkata pesawat Mi-17 JBPM dari Pangkalan Udara Subang yang tiba di Pos Kemar pada 4.30 petang tadi membawa 11 anggota SAR terdiri daripada lima anggota JBPM, empat Polis Diraja Malaysia (PDRM), seorang daripada Jabatan Perhutanan dan seorang malim gunung.

“Kesemua 11 anggota SAR itu diturunkan ke Kem Kulim menggunakan teknik winching kerana tiada lokasi pendaratan yang sesuai dan paling hampir dengan anggaran lokasi mangsa.

“Pasukan SAR turut dibantu oleh 14 malim gunung Malaysia (MGM) yang masuk melalui laluan pendakian, menjadikan keseluruhan pasukan SAR yang berada berhampiran dengan mangsa sebanyak 25 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata berdasarkan penelitian dan perbincangan antara JBPM dengan Jabatan Perhutanan serta maklumat pesanan ringkas (SMS) terakhir mangsa pada 1 Sept, kumpulan itu dipercayai menggunakan laluan Gunung Bieh, Gunung Sepat, Gunung Belatoh, Kampung Agek, Gunung Bongok dan seterusnya Pos Kemar.

Sayani berkata pihak Jabatan Perhutanan turut menerima maklumat pada 5.15 petang tadi mengenai mesej daripada mangsa yang memaklumkan kesemua mereka selamat tiba di Gunung Bongok.

“Pasukan SAR kini bergerak untuk bertemu dengan kesemua mangsa di kawasan berkenaan dan mereka dijangka berkumpul semula di Kem Kulim, malam ini.

“Keputusan sama ada kesemua mangsa akan dibawa keluar malam ini atau bermalam di Kem Kulim bergantung pada keadaan mangsa dan situasi di lokasi,” katanya.

Beliau berkata anggaran perjalanan pasukan SAR bersama-sama mangsa dari Kem Kulim ke Pos Kemar adalah antara tiga hingga empat jam.

Sebelum ini, Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, dan isteri Siti Zulaiha Norizan, 39, serta anak Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9, serta dua malim gunung Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, dilaporkan hilang selepas mendaki gunung itu pada 29 Ogos.

Mereka dilaporkan gagal keluar dari hutan mengikut tarikh dijadualkan, iaitu 3 September dan ahli keluarga membuat laporan polis semalam.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.