Pantai Bumi Hijau sasar 3,000 pengunjung sebagai destinasi eko baharu

3 Jun 2026, 1:19 PM
Pantai Bumi Hijau sasar 3,000 pengunjung sebagai destinasi eko baharu
Pantai Bumi Hijau sasar 3,000 pengunjung sebagai destinasi eko baharu

SABAK BERNAM, 3 JUN: Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM1 juta bagi membangunkan Pantai Bumi Hijau di Sabak Bernam sebagai produk ekopelancongan baharu yang dijangka merancakkan sektor pelancongan daerah itu.

EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail berkata destinasi yang baru dibuka itu disasar menarik lebih 3,000 pengunjung pada peringkat awal menerusi pelbagai aktiviti rekreasi dan riadah.

Menurutnya, antara tarikan utama yang ditawarkan ialah penginapan karavan percuma, aktiviti flying fox, mendaki bukit, mandi pantai serta pasar terapung pada waktu malam, selain dilengkapi kemudahan asas seperti surau dan tandas.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah diiringi Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz berkenan meninjau Taman Paya Bakau ketika program Gagasan Rumpun Selangor Daerah Sabak Bernam di Pantai Bumi Hijau, Sabak Bernam pada 3 Jun 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Kebanyakan pantai di Malaysia kita lihat suasananya lebih ke arah tempat makan tetapi di sini ia agak berbeza dimana lebih kepada suasana berkelah untuk pengunjung menikmati suasana alam semulajadi dan pada masa sama boleh mencari remis kerana di sini terkenal tempat orang mencari remis kecil.

“Kerajaan Negeri telah memperuntukkan geran sepadan sebanyak RM1 juta bagi membangunkan infrastruktur di Pantai Bumi Hijau ini bagi memastikan keselesaan maksimum kepada pengunjung," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Pantai Bumi Hijau menerusi Program Gagasan Rumpun Selangor daerah Sabak Bernam di sini hari ini yang merupakan jelajah siri ketiga selepas Petaling dan Hulu Langat.

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bersama Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz turut berkenan berangkat melawat ke pantai berkenaan.

Baginda berkenan menyempurnakan pasar terapung, menyerahkan sumbangan galakan perniagaan berjumlah RM1,000 setiap seorang kepada 20 peniaga asnaf termasuk peniaga pasar terapung.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah diiringi Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz berkenan melepaskan anak ikan ketika program Gagasan Rumpun Selangor Daerah Sabak Bernam di Pantai Bumi Hijau, Sabak Bernam pada 3 Jun 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Tengku Amir Shah turut berkenan melakukan pelepasan benih udang galah serta benih ikan siakap bagi memelihara ekosistem perikanan, selain melakukan aktiviti penanaman semula pokok bakau di pesisiran pantai tersebut.

Sementara itu, Rizam berkata terdapat cadangan membangunkan resort, namun perkara itu akan diteliti terlebih dahulu kerana ia melibatkan ekosistem paya bakau yang perlu dipelihara selaras dengan nasihat Tuanku agar kelestarian alam sekitar terus dikekalkan

“Pihak Koperasi Hijrah Selangor (Kohijrah) juga sedang merancang fasa pembangunan seterusnya termasuk penyediaan resort berkonsepkan alam semula jadi di dalam kawasan hutan paya bakau bagi pasaran pelancong luar negara,” katanya.

Beliau berkata, Sabak Bernam sedang dibangunkan secara holistik sebagai sebuah bandar agropolitan di bawah projek Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) bagi menggabungkan sektor pelancongan, pertanian dan perikanan.

Katanya, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar juga dicadang untuk diperkenalkan sebagai pusat pelancongan kampung tradisi demi mengekalkan kelestarian eko-alam sekitar serta peradaban bangsa agar selari dengan konsep bandar sejahtera.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah diiringi Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz berkenan meninjau tapak karavan ketika program Gagasan Rumpun Selangor Daerah Sabak Bernam di Pantai Bumi Hijau, Sabak Bernam pada 3 Jun 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Bagaimanapun dalam rancangan pembinaan resort dan kemudahan baharu kelak, kita amat menitikberatkan cabaran mengekalkan kelestarian eko-alam sekitar selaras dengan saranan Raja Muda Selangor yang mahukan aspek ekosistem dan kebersihan dijaga rapi.

“Sistem kumbahan dan pengurusan sisa perlu diperincikan bersama pihak pejabat daerah dan majlis daerah agar pembangunan sektor pelancongan ini tidak sesekali merosakkan keindahan alam semula jadi yang menjadi identiti utama daerah ini,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.