Kilang hasilkan transformer TNB terbakar di Semenyih

2 Jun 2026, 3:16 AM
Kilang hasilkan transformer TNB terbakar di Semenyih

SHAH ALAM, 2 JUN: Sebuah kilang yang menghasilkan transformer dan peralatan elektrik untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kawasan Perindustrian Sungai Purun, Semenyih, terbakar awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.29 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, kebakaran membabitkan sebuah kilang berkeluasan kira-kira 18.6 x 9.3 meter, dengan api sedang marak ketika pasukan bomba tiba di lokasi.

"Anggaran kemusnahan ketika itu adalah 40 peratus dan kerja-kerja mengawal kebakaran segera dijalankan sebaik anggota tiba di lokasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Bangi dan BBP Kajang.

Katanya, operasi menggunakan empat aliran sepanjang 300 kaki serta tiga pancutan nozel, dengan sumber air diperoleh daripada pili bomba dan jentera tangki air.

"Setakat jam 9.30 pagi, kebakaran berjaya dipadamkan sehingga 90 peratus dan kerja-kerja memadam sisa kebakaran masih dijalankan," katanya.

Ahmad Mukhlis berkata operasi membabitkan 18 anggota bersama sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dari BBP Semenyih, sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) dari BBP Kajang serta sebuah FRT dan jentera tangki air dari BBP Bangi.

Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.