SHAH ALAM, 1 JUN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing R Rajiv bertekad memastikan proses perancangan dan pembinaan Hospital Petaling Jaya berjalan lancar tanpa sebarang kelewatan.
Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kerajaan Negeri bagi memastikan hospital berkenaan dapat dibina dan beroperasi dengan cekap demi memenuhi keperluan komuniti.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KKM dan Kerajaan Negeri atas semangat kerjasama serta iltizam politik yang ditunjukkan dalam memuktamadkan tapak ini.
“Menyaksikan kepimpinan Kerajaan Persekutuan dan negeri sehaluan dalam menjayakan projek ini merupakan kemuncak kepada usaha bertahun-tahun yang melibatkan kerja asas yang berterusan, perbahasan serta maklum balas daripada masyarakat setempat,” katanya menerusi kenyataan.
Rajiv berkata usaha mendapatkan sebuah hospital awam khusus untuk penduduk Petaling Jaya telah menjadi antara agenda utama yang diperjuangkannya sejak lebih sedekad lalu.
Menurut beliau, perkara itu pernah dibangkitkan dalam Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 30 Mac 2016 apabila pihaknya menggesa Kerajaan Negeri mengenal pasti dan memperuntukkan tapak yang sesuai bagi tujuan pembinaan hospital berkenaan.

“Melihat dasar yang saya perjuangkan sejak tahun 2016 akhirnya mencapai titik penting ini amat membanggakan dan memuaskan hati. Ini bukan sekadar kemenangan dalam usaha memperjuangkan dasar awam.
“Ia merupakan kemenangan besar buat rakyat Bukit Gasing yang berhak menikmati akses kepada perkhidmatan kesihatan awam yang berkualiti, mampu milik dan mudah dicapai berhampiran tempat tinggal mereka,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan keputusan memuktamadkan tapak Hospital Petaling Jaya sebagai pencapaian bersejarah yang bakal memberi manfaat kepada penduduk Bukit Gasing serta komuniti sekitar.
“Keputusan ini merupakan satu pencapaian bersejarah bagi penduduk Bukit Gasing dan komuniti Petaling Jaya secara keseluruhannya, yang telah sekian lama berdepan tekanan akibat kekurangan kemudahan penjagaan kesihatan awam yang mencukupi di kawasan kita,” jelasnya.
Pada 27 Mei lalu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan tapak seluas enam hektar di Taman Medan yang kini menempatkan kompleks sukan X Park PJ South dikenal pasti sebagai lokasi cadangan Hospital Petaling Jaya yang baharu.
Pada hari sama, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata hospital berkapasiti 500 katil yang akan dibangunkan secara konsep menegak itu memenuhi keperluan penduduk dari segi aksesibiliti, kapasiti, kos tanah serta kedudukannya yang berhampiran komuniti setempat.








