SHAH ALAM, 2 JUN: Kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mobiliti terutama dalam kalangan warga emas masih rendah meskipun ia memainkan peranan penting dalam menentukan kualiti kehidupan harian.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing R Rajiv berkata Bengkel Mobiliti Untuk Warga Emas dianjurkan sebagai usaha meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan pergerakan aktif dan sihat seiring peningkatan usia.
Menurut beliau, program berkenaan memberi tumpuan kepada warga emas serta individu berusia lebih 40 tahun yang mula mengalami kesukaran untuk bergerak aktif dalam kehidupan seharian.
“Mobiliti sangat berkait rapat dengan kualiti kehidupan dan ramai boleh mendapat manfaat melalui sesi seperti ini,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata, peserta turut diberikan pelbagai tip dan panduan praktikal bagi menambah baik pergerakan harian mereka selain mengekalkan gaya hidup aktif dan berdikari.
Sementara itu, Pegawai Pejabat ADN Bukit Gasing Somesvaren Sivanathan berkata aspek mobiliti sering dipandang ringan oleh masyarakat.
“Ramai orang fikir mobiliti hanya bermaksud bergerak, sedangkan ia juga tentang bagaimana seseorang bergerak dengan baik dan untuk kekal aktif,” katanya.
Beliau berkata, program hasil kerjasama Amazing Seniors dan Pejabat ADN Bukit Gasing itu dirancang untuk diteruskan secara berkala.
“Kami berharap program seperti ini boleh diadakan sekurang-kurangnya dua minggu sekali,” katanya.









