Hospital Petaling Jaya selangkah dekat, tapak pembinaan sudah dikenal pasti

15 Jul 2026, 6:45 AM
Hospital Petaling Jaya selangkah dekat, tapak pembinaan sudah dikenal pasti

SHAH ALAM, 15 JULAI: Cadangan tapak pembinaan Hospital Petaling Jaya telah dikenal pasti dan akan dibawa untuk perbincangan lanjut bersama Kementerian Kesihatan (KKM), kata Dato' Menteri Besar.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata, susulan itu proses pengambilan tanah akan dilaksanakan mengikut tatacara serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa bagi membolehkan projek berkenaan diteruskan.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri komited untuk terus memudah cara segala urusan di bawah bidang kuasanya supaya projek pembinaan Hospital Petaling Jaya dapat direalisasikan dalam kadar segera.

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari mempengerusikan mesyuarat penyelarasan cadangan tapak pembinaan Hospital Petaling Jaya. Foto Facebook Amirudin Shari

“Alhamdulillah, pagi ini saya telah mempengerusikan perbincangan penyelarasan cadangan tapak Hospital Petaling Jaya bersama semua agensi berkaitan.

“Ia bagi memperincikan langkah seterusnya ke arah merealisasikan pembinaan sebuah hospital awam yang amat dinantikan oleh warga Petaling.

“Insya-Allah, dengan kerjasama yang kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, hasrat untuk menyediakan sebuah Hospital Petaling Jaya demi manfaat jutaan penduduk di daerah ini akan dapat direalisasikan,” katanya di Facebook.

Katanya, ia merupakan satu perkembangan penting, hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, KKM, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) serta semua pihak terlibat, bagi memastikan keperluan kesihatan rakyat terus menjadi keutamaan.

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari mempengerusikan mesyuarat penyelarasan cadangan tapak pembinaan Hospital Petaling Jaya bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan agensi berkaitan di Shah Alam bagi memperincikan langkah ke arah merealisasikan pembinaan hospital awam baharu di daerah itu. Foto Facebook Amirudin Shari

“Dengan pertumbuhan pesat penduduk di daerah Petaling, kewujudan sebuah hospital awam baharu amat diperlukan.

“Ia bagi meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti, mengurangkan kesesakan di hospital-hospital sedia ada serta memenuhi keperluan rakyat untuk jangka panjang,” katanya.

Jelasnya, perbincangan itu turut dihadiri wakil Kementerian Kesihatan Malaysia, EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin, Datuk Bandar MBPJ Datuk Mohamad Zahri Samingon serta wakil daripada agensi dan jabatan berkaitan.

Pada 27 Mei lalu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan tapak seluas enam hektar di Taman Medan yang kini menempatkan kompleks sukan X Park PJ South dikenal pasti sebagai lokasi cadangan Hospital Petaling Jaya yang baharu.

Amirudin sebelum ini berkata hospital berkapasiti 500 katil yang akan dibangunkan secara konsep menegak itu memenuhi keperluan penduduk dari segi aksesibiliti, kapasiti, kos tanah serta kedudukannya yang berhampiran komuniti setempat.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.