SHAH ALAM, 31 MEI: Seramai 50 pendayung, rakan pelancongan dan anggota Skuad PANTAS Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengikuti Kursus Keselamatan dan Kecemasan di Air di Santuari Kelip-kelip Kampung Kuantan bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi sebarang insiden kecemasan.
Menurut MPKS, program tersebut merupakan usaha memperkukuh aspek keselamatan pelancongan air selain memastikan setiap petugas memahami prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Program ini dianjurkan untuk memberi kefahaman dan latihan asas berkaitan keselamatan serta pengurusan kecemasan di air khususnya kepada pengendali perkhidmatan sampan," kata MPKS dalam kenyataan di Facebook.
Santuari Kelip-kelip Kampung Kuantan merupakan antara destinasi eko-pelancongan utama di Daerah Kuala Selangor yang menerima kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara.
Justeru katanya, aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan bagi memastikan pengalaman pelawat kekal positif.
Sepanjang kursus berlangsung, peserta didedahkan dengan teknik penyelamatan air serta penggunaan peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan sebagai langkah persediaan menghadapi situasi tidak dijangka.
Mereka turut diberi pendedahan mengenai tindakan bantuan awal yang boleh dilaksanakan sementara menunggu ketibaan pasukan kecemasan di lokasi kejadian.
Selain meningkatkan pengetahuan berkaitan keselamatan, kursus itu bertujuan memastikan setiap petugas memahami dan mematuhi SOP pelancongan air ketika berlakunya kecemasan.
Program tersebut juga membantu meningkatkan tahap kecekapan dan kemahiran petugas dalam mengendalikan situasi kecemasan secara lebih pantas, cekap dan tersusun demi keselamatan semua pihak.
"Penganjuran program ini membuktikan komitmen berterusan MPKS dalam memastikan industri pelancongan di Kuala Selangor terus berkembang secara positif,"kata MPKS lagi.
Usaha ini juga katanya akan memperkukuhkan imej Santuari Kelip-kelip Kampung Kuantan sebagai destinasi eko-pelancongan yang selamat dan berkualiti.









