Seorang maut dalam kebakaran bangunan bekas pawagam

31 Mei 2026, 12:30 AM
Seorang maut dalam kebakaran bangunan bekas pawagam

GEORGE TOWN, 31 MEI: Seorang lelaki dipercayai warga Myanmar ditemukan maut dalam kebakaran di sebuah premis hiburan yang beroperasi di bangunan bekas pawagam Odeon di Jalan Penang di sini malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah berkata mangsa dipercayai terperangkap di dalam bangunan dua tingkat itu ketika kebakaran terbabit berlaku.

"Mayat lelaki yang dipercayai pekerja di situ ditemukan di pintu keluar bangunan berkenaan selepas pihak bomba selesai memadamkan kebakaran tersebut kira-kira 11.15 malam, mangsa dipercayai terperangkap sebelum cuba keluar untuk menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, premis pusat hiburan itu tidak beroperasi kerana dalam proses pengubahsuaian, dan mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Pulau Pinang memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada 8.50 malam sebelum jentera bersama-sama anggota bomba ke lokasi.

"Sebaik pihak bomba tiba, api sedang marak dan kebakaran melibatkan sebuah premis dua tingkat berkeluasan 1,393.54 meter persegi yang dijadikan pusat hiburan sebagai Midnight Black terletak di bangunan bekas pawagam Odeon.

"Setakat 10.45 malam, anggaran kemusnahan akibat kebakaran ialah kira-kira 50 peratus dan Pasukan Keluaran Operasi sedang menjalankan kerja pengawalan serta pemadaman api di lokasi kejadian," menurut kenyataan itu malam tadi.

Menurut PGO JBPM Pulau Pinang, 25 anggota termasuk penyelia terlibat dalam operasi berkenaan dengan bantuan beberapa aset termasuk jentera LFRT, FRT, EMRS dan Aerial Ladder Platform (ALP) serta dibantu lebih 10 Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Selain asap tebal yang boleh dilihat hingga jarak lima kilometer, kebakaran itu turut menyebabkan kesesakan teruk di kawasan bandar raya George Town.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.