KUALA LUMPUR, 30 MEI: Empat gerabak tren yang tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin baru-baru ini, berjaya dinaikkan semula ke landasan dan dibawa pulang ke depot untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut oleh pasukan teknikal.
Rapid KL menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata kerja-kerja pemulihan tren yang dijalankan semalam dan awal pagi ini, melibatkan proses penyambungan antara gerabak-gerabak tren dan kenderaan trek khas, bagi membolehkan pergerakan keluar dilakukan dengan selamat dan terkawal.
“Gerak kerja sedang giat diteruskan demi memastikan perjalanan yang selamat lagi selesa buat penumpang dapat dikembalikan secepat mungkin,” menurut hantaran itu.
Pada Khamis, sebuah tren Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin akibat kerosakan pada suis landasan yang menjejaskan jadual perkhidmatan.
Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata landasan yang terjejas dijangka dapat beroperasi semula selewat-lewatnya pada Rabu depan.
Beliau turut memaklumkan semua stesen di Laluan Ampang/Sri Petaling kekal beroperasi, namun menggunakan jadual perkhidmatan yang diubah suai, bagi memastikan pergerakan tren dapat diteruskan sepanjang tempoh kerja pemulihan dijalankan.








