KUALA LANGAT, 8 SEPT: Pakatan Harapan (HARAPAN) sedia menghadapi pelbagai kemungkinan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk bertanding tanpa kerjasama gabungan lain.
Pengarah pilihan raya HARAPAN berkata tiada rundingan atau perbincangan rasmi dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh setakat ini bagi penentuan kerjasama.
“Setakat hari ini belum ada. Kalau ada, ada. Kalau tiada lawan tetap lawan. Perbincangan kerusi ini tidak akan selesai sehingga hari penamaan calon. Kalau dapat lebih awal, lebih baik.
“Tetapi HARAPAN akan buat persediaan dalam pelbagai situasi dan keadaan. Kita bersedia dan dari semasa ke semasa kita belajar tangani setiap isu. Kita cuba tingkatkan usaha kita.
“Kalau mahu bincang, kita bincang. Tetapi masa semakin suntuk jadi kita akan sediakan beberapa senario untuk kita tangani,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media, hari ini.
Tambahnya, HARAPAN juga akan mengadakan perbincangan dalaman dalam tempoh terdekat bagi menentukan langkah khusus untuk menghadapi PRN Melaka.
Media sebelum ini melaporkan Ab Rauf yang juga ketua menteri Melaka memberi bayangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu mungkin diumumkan menjelang akhir bulan ini.
Pada 25 Ogos lalu, Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Amirudin diberi mandat untuk memperincikan bentuk kerjasama antara gabungan itu dengan BN, termasuk agihan kerusi pada PRN Melaka akan datang.
Untuk rekod, Melaka mempunyai 28 kerusi DUN dengan 21 kerusi dimenangi BN pada PRN lalu. PH memiliki lima kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.








