SHAH ALAM, 17 MAC: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM6 juta bagi menjayakan Program Sumbangan Korban tahun ini melalui kerjasama tanggungjawab sosial korporat (CSR) melibatkan syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim berkata sebanyak 800 ekor lembu dan 600 ekor kambing disediakan, dengan jaminan ternakan berkualiti tinggi bagi memastikan agihan kepada penerima berjalan lancar dan memberi manfaat optimum.
“Beberapa langkah penambahbaikan turut diperkenalkan terutamanya dari aspek kualiti dan kawalan bekalan ternakan bagi memastikan program berjalan lancar dan memberi manfaat kepada semua penerima.
“Antaranya termasuk proses pemilihan pembekal yang lebih ketat dan teliti, bagi memastikan setiap ternakan yang dibekalkan berada dalam keadaan sihat, bebas daripada sebarang penyakit serta memenuhi syarat minimum yang telah ditetapkan,” katanya kepada Media Selangor.
Izham berkata langkah mitigasi turut diambil dengan menyediakan pembekal alternatif sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku sebarang risiko terhadap ternakan sebelum proses penghantaran.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan program berkenaan dijangka memberi manfaat kepada kesemua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, dengan agihan turut diperluas kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terpilih serta badan beruniform bagi memastikan lebih ramai golongan memerlukan menerima bantuan.










