MAKKAH, 30 MEI: Malaysia terus mengukuhkan reputasinya sebagai penanda aras pengurusan haji dunia apabila Lembaga Tabung Haji (TH) berjaya mempertahankan Anugerah Labbaitom buat tahun kelima berturut-turut.
TH turut mengekalkan Diamond Award buat kali kedua pada musim haji 1447H/2026M, iaitu pengiktirafan tertinggi yang diberikan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada institusi pengurusan haji terbaik dunia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata pencapaian itu membuktikan model pengurusan haji Malaysia kekal relevan, berdaya saing dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
"Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan kepada Tabung Haji, tetapi juga pengiktirafan terhadap keseluruhan ekosistem pengurusan haji Malaysia yang dibangunkan sejak puluhan tahun.
"Ia merangkumi persiapan sebelum berlepas, pengurusan di Tanah Suci, aspek kebajikan, perubatan, bimbingan ibadah dan perkhidmatan selepas jemaah pulang ke tanah air," katanya selepas majlis penyampaian anugerah itu di sini, malam tadi.
Beliau berkata antara faktor menyumbang kepada kejayaan berterusan itu ialah budaya penambahbaikan yang menjadi amalan TH setiap kali musim haji berakhir.
Menurutnya, setiap maklum balas daripada jemaah dan petugas akan dinilai bagi memastikan kelemahan dapat diperbaiki manakala keperluan baharu jemaah dapat dipenuhi.
"Tabung Haji tidak pernah menganggap sesuatu sistem itu sempurna. Sebaik sahaja musim haji selesai, kita akan melaksanakan pascanilai secara menyeluruh untuk mencari ruang penambahbaikan.
"Budaya inilah membolehkan kita terus berkembang dan mengekalkan tahap perkhidmatan yang diiktiraf dunia," katanya.
Zulkifli berkata TH turut memperkenalkan pelbagai inovasi termasuk penggunaan teknologi digital dan aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu jemaah memperoleh maklumat secara lebih pantas serta meningkatkan kecekapan operasi di Tanah Suci.
Menurutnya, kejayaan itu turut didorong disiplin tinggi jemaah Malaysia yang sentiasa mematuhi peraturan selain memberi kerjasama penuh kepada petugas sepanjang musim haji.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi khususnya Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud, Putera Mahkota dan Perdana Menteri Mohammed bin Salman serta Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah atas pelbagai transformasi yang dilaksanakan dalam pengurusan haji.
"Kami menyaksikan sendiri banyak pembaharuan dilakukan Arab Saudi dan ia banyak membantu Tabung Haji dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah Malaysia," katanya.
Anugerah Labbaitom merupakan pengiktirafan tahunan yang diberikan kepada pengurus jemaah haji dari seluruh dunia yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pengurusan haji oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.







