Kaamatan bukan sekadar perayaan, simbol perpaduan dan keharmonian

30 Mei 2026, 2:03 AM
Kaamatan bukan sekadar perayaan, simbol perpaduan dan keharmonian

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Pesta Kaamatan yang disambut masyarakat Kadazan-Dusun, Murut dan Rungus di Sabah bukan sekadar perayaan budaya, malah menjadi simbol kesyukuran, perpaduan dan kekuatan kebersamaan dalam kalangan masyarakat majmuk di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pesta menuai yang diraikan pada 30 dan 31 Mei setiap tahun itu, turut mencerminkan keharmonian rakyat Malaysia yang hidup dalam suasana aman tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan budaya.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata tema Pesta Kaamatan 2026 “Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian” amat bertepatan dalam menggambarkan nilai kebersamaan serta semangat kerjsama dalam kehidupan masyarakat di Sabah terutama ketika mendepani cabaran global semasa seperti ketidaktentuan ekonomi, peningkatan kos sara hidup serta krisis tenaga dan rantaian bekalan.

“Semangat ini adalah teras kekuatan rakyat Malaysia dalam mengharungi setiap cabaran, demi memastikan negara kekal stabil, berdaya saing dan lestari.

“Semoga Pesta Kaamatan tahun ini membawa keberkatan, kesejahteraan dan memperkukuh lagi semangat kebersamaan serta kasih sayang sesama rakyat Malaysia. Kotobian Tadau Tagazo do Kaamatan (Selamat Hari Besar Kaamatan),” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.