RM542.8 juta ganti paip usang, tekad Selangor kurangkan kadar air tidak berhasil

14 Nov 2025, 11:32 AM
RM542.8 juta ganti paip usang, tekad Selangor kurangkan kadar air tidak berhasil
RM542.8 juta ganti paip usang, tekad Selangor kurangkan kadar air tidak berhasil
RM542.8 juta ganti paip usang, tekad Selangor kurangkan kadar air tidak berhasil

Oleh Fitri Hazim Hazam

SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan Negeri memperuntuk RM542.8 juta bagi meneruskan program penggantian paip usang tahun depan melalui Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), sekali gus mengukuhkan usaha menangani isu kebocoran dan gangguan bekalan air.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejak diperkenalkan pada 2016, program dengan sasaran awal menggantikan 150 km paip setahun digandakan kepada 300 km setahun pada 2024 bagi mempercepat proses penggantian.

“Langkah ini bertujuan menangani paip usang dengan lebih cepat dan seterusnya mengurangkan kadar air berhasil (NRW).

“Sehingga Ogos 2025, sebanyak 980.18 km paip berjaya diganti di seluruh negeri, sekali gus menurunkan risiko gangguan bekalan air kepada pengguna,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 hari ini.

Menurut Amirudin, kadar penggantian akan terus dipertingkat, dengan sasaran mencecah 400 km setahun menjelang 2034, selari dengan keperluan menaik taraf infrastruktur air negeri.

Usaha agresif itu turut mendapat perhatian Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, yang menzahirkan penghargaan terhadap komitmen Kerajaan Negeri menangani isu bekalan air.

Baginda turut menggesa semua pihak bekerjasama mempercepat penggantian paip demi manfaat rakyat, selain menyanjung langkah Kerajaan Negeri menanggung kenaikan tarif air untuk penerima Skim Air Darul Ehsan, sekolah, masjid, surau dan rumah ibadat lain.

Sementara itu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM40.4 juta kepada Program Penurunan NRW melibatkan beberapa inisiatif teknikal utama termasuk:

• Penggantian paip komunikasi

• Pemasangan Pressure Transient

• Pengembangan liputan District Metering Zone (DMZ)

• Penambahan anggota Leak Inspector

• Pemasangan Permanent Noise Correlating Loggers

• Pemasangan Advance Pressure Management Systems (APMS)

“Hasil pelaksanaan berterusan, kadar NRW berjaya dikurangkan kepada 27.0 peratus setakat September 2025, lebih baik berbanding sasaran 27.3 peratus bagi tahun itu,” katanya.