SHAH ALAM, 26 MEI: Kerja baik pulih cerun runtuh di Jalan 11 Rawang Perdana 2 giat dilaksana dan dijangka mengambil masa sehingga tiga bulan, maklum Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang.
Chua Wei Kiat berkata kerja pembaikan cerun dilaksanakan selepas tindakan susulan diambil termasuk kajian cerun selesai serta pemeriksaan kerosakan bangunan bagi memastikan baik pulih tidak menjejaskan struktur rumah penduduk berhampiran.
“Kerja baik pulih sedang dijalankan pihak Sunway dan dijangka mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk disiapkan.
“Pembaikan ini melibatkan kos lebih RM1 juta demi memastikan keselamatan penduduk di kawasan sekitar,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata kira-kira 200 rumah berhampiran kawasan cerun terkesan susulan kejadian itu
“Pemilik tanah bersama persatuan penduduk telah mula menjalankan proses pemberitahuan serta pemeriksaan kerosakan bangunan bagi memastikan kerja pembaikan cerun dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan struktur rumah penduduk berhampiran.
“Sepanjang tempoh pelaksanaan kerja, sebahagian laluan jalan akan ditutup sementara bagi memastikan keselamatan penduduk dan kelancaran kerja pembaikan,” katanya.









