SHAH ALAM, 28 MEI: Sebanyak tujuh ajaran diwarta sebagai menyeleweng antara 2021 hingga 2026.
Menurut ketua Bahagian Fatwa Mufti Selangor, proses tersebut melibatkan penyelidikan, temu bual, siasatan bersama pelbagai pihak bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Mohamad Shukry Sulaiman menjelaskan kertas kajian dibuat selepas benar-benar yakin dan faham dengan pandangan mereka, perbandingan dibuat dengan elemen dalam Ahli Sunnah Waljamaah.

“Kalau ada perbezaan, maka di situlah kita akan putuskan dalam mesyuarat jawatankuasa fatwa. Benda ini bukan hanya berdasarkan aduan tetapi penyiasatan yang sangat rapi,” katanya kepada Media Selangor.
Menurutnya, sesebuah kes akan dibawa ke peringkat Muzakarah Fatwa Kebangsaan jika ada ajaran berkembang di seluruh negara sebelum diselaraskan di Muazakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri.
Beliau berkata program pemulihan akidah akan dijalankan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berasaskan silibus tertentu kepada pengikut kumpulan selepas sesebuah ajaran diwarta menyeleweng.
“Jadi (pemulihan) bergantung kepada tahap masing-masing. Ada yang cepat, ada yang lambat, ada juga yang datang hanya untuk memenuhi syarat tapi tak sukar. Macam masuk kelas agama,” katanya.
Menurut Mohamad Shukry, ada individu yang cepat pulih tetapi terdapat juga yang kembali semula kepada kumpulan asal walaupun telah menjalani proses pemulihan.
Penolong Mufti Unit Istinbat Nur Atiqah Sulaiman pula memberitahu terdapat kumpulan yang telah diwartakan sebagai menyeleweng di negeri Selangor, namun masih bergiat aktif di luar negara menerusi platform media sosial.
“Ada juga kes yang lari ke luar negara tetapi masih aktif di media sosial. Bagi kes begini, penguatkuasaan agak terbatas untuk dilaksanakan,” katanya.
Penolong Mufti Kanan Bahagian Fatwa Abdul Wahid Ishak pula berkata hukuman boleh dikenakan terhadap ketua, pengikut dan individu yang menyebar fahaman sesat termasuk media sosial.

“Ada juga penyebaran kenyataan melalui media sosial yang kadang-kadang disebar oleh bukan ahli atau ketua dan berbaur menyokong mana-mana ajaran, boleh dikenakan tindakan,” katanya.
Penguatkuasaan media sosial melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tetapi usaha itu berdepan cabaran kerana sesebuah kumpulan boleh membuka akaun baharu.










