SHAH ALAM, 27 MEI: Jabatan Mufti Selangor menetapkan 31 ciri-ciri atau amalan tertentu dalam sesebuah kumpulan atau individu sebagai ajaran sesat.
Ketua Bahagian Fatwa Mufti Selangor Mohamad Shukry Sulaiman menjelaskan penetapan semua ciri itu dapat mempercepat proses pewartaan mana-mana ajaran yang menyimpang daripada ajaran Islam.
Tanpa memperinci ciri-ciri berkenaan, beliau memberitahu sebarang ajaran yang memiliki salah satu daripada 31 elemen tersebut boleh diwarta sebagai terkeluar dari Islam.

“Bayaran zakat kepada ketua kumpulan, ketua atau ahli kumpulan akan menonjolkan keistimewaan tertentu termasuk boleh menilik kejadian atau nasib seseorang tentang akhirat,” katanya yang menjelaskan sebahagian elemen itu kepada Media Selangor.
Antara elemen tersebut ialah mengaku atau mendakwa diri atau orang lain sebagai tuhan, mengaku atau mendakwa Allah SWT tidak wujud, mengaku atau mendakwa diri atau orang lain sebagai nabi atau rasul dan mengaku atau mendakwa diri atau orang lain sebagai Imam Mahdi.
Beliau berkata pendekatan baharu itu diperkenal bagi memudahkan tindakan diambil lebih pantas dan mudah berbanding sebelum ini yang menumpukan kepada pewartaan nama kumpulan tertentu.
“Kalau sesuatu kumpulan ataupun sesuatu ajaran itu ada satu, dua atau tiga elemen (ciri-ciri) yang kita nyatakan itu, maka ia akan dikategori sebagai menyeleweng.
“Kalau sesuatu kumpulan atau jemaah ada ciri-ciri itu, maknanya pihak berkuasa terus ambil tindakan susulan. Tanpa menamakan sesuatu ajaran itu kepada kumpulan tertentu, berdasarkan elemen sahaja sudah memadai,” katanya.
Mohamad Shukry juga mendapati ajaran sesat bagaikan suatu bentuk ketagihan dan ia berulang dalam kalangan masyarakat meskipun pelbagai pendekatan dibuat bagi mencegah perbuatan itu.
“Di Selangor sesi penjelasan pun rasa cukup banyak melalui kuliah di masjid, seminar, bahan bacaan, YouTube atau media sosial tetapi benda itu macam candu yang sukar untuk kita bendung.
“Nampak seperti mustahil pada zaman sekarang tetapi itulah anutan dan kepercayaan mereka yang kita sebenarnya cukup takut berada dalam zaman moden. Tetapi benda ini masih berakar umbi dalam masyarakat kita,” katanya.
Penolong Mufti Unit Istinbat Nur Atiqah Sulaiman pula menjelaskan 31 ciri-ciri itu dirangka hasil gabungan daripada 48 ajaran sesat yang telah dikenal pasti sejak tahun 1980-an.
“Setiap ajaran sesat akan ada elemen (ciri-ciri), jadi kita campurkan semua, maka terhasil 31 elemen itu. Yang asas sekali adalah mengaku nabi atau tuhan. Nampak sahaja benda itu, automatik ajaran itu menyeleweng,” katanya.








