Muatan lebih antara punca jalan rosak, teknologi AI bantu baiki jalan

25 Mei 2026, 2:00 AM
Muatan lebih antara punca jalan rosak, teknologi AI bantu baiki jalan
Muatan lebih antara punca jalan rosak, teknologi AI bantu baiki jalan
Muatan lebih antara punca jalan rosak, teknologi AI bantu baiki jalan

SHAH ALAM, 25 MEI: Kenderaan berat yang membawa muatan melebihi had ditetapkan dikenal pasti antara punca utama kebanyakan jalan raya di Selangor mengalami kerosakan teruk.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Ir Shukri Ishak berkata keadaan itu menyebabkan kos pembaikan dan naik taraf jalan terus meningkat setiap tahun.

"Jalan ini banyak rosak salah satunya disebabkan faktor lebihan muatan...Saya ambil peluang terima kasih kepada Jabatan Pengangkutan Jalan yang buat operasi bagi memastikan hanya lori yang mematuhi had muatan sahaja dibenarkan.

"Kita lihat lori bawa lebih muatan hanya akan mengakibatkan jalan kurang jangka hayat. Apabila kurang jangka hayat kerajaan terpaksa mengeluarkan kos untuk membuat kerja penambahbaikan balik.

"Faktor kedua yang buat jalan raya rosak adalah korekan dilakukan syarikat utiliti. JKR telah buat satu sesi penilaian kontraktor utiliti yang buat kerja selain tarik dan tanam kabel, tampalan mestilah mengikut ketetapan," katanya kepada Media Selangor.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor Ir Shukri Ishak ketika ditemui Media Selangor di pejabat JKR Selangor pada 12 Mei 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Jelas beliau, kontraktor utiliti yang gagal mematuhi garis panduan ditetapkan termasuk melakukan kerja turapan berdepan tindakan undang-undang.

"Kita nak 'the right man do the right job'. Amaran diberikan sekiranya kontraktor membuat kerja tanpa maklumkan JKR. Kita lihat ada sesetengah tak hubungi JKR daerah dan apabila berlaku kemalangan JKR dipersalahkan.

"Sesi libat urus telah dilaksana dan harap perkara ini dapat diatasi dengan sebaiknya," ujarnya.

Pada masa sama, Shukri memaklumkan pihaknya kini sedang mengkaji untuk memperluas penggunaan fiber istimewa yang diimport dari Amerika Syarikat supaya jalan raya lebih tahan dan memanjangkan jangka hayat.

"Fiber istimewa ini akan dicampurkan dengan bahan turapan. Kita telah gunakan di beberapa lokasi di Klang dan setakat ini, keputusan baik dan penyelenggaraan makin kurang dan bertahan lama.

"JKR juga sentiasa membuka pintu untuk mana-mana syarikat yang mahu bekerjasama dengan menawarkan teknologi dan kaedah baharu. Setakat ini, kita telah terima banyak maklum balas dan sedang buat penilaian," katanya.

Proses pembaikan jalan di Bukit Kemuning pada Julai 2025. Foto JKR Selangor

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sejumlah RM159 juta diterima daripada dana Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi melaksana kerja penyelenggaraan jalan pada tahun ini.

"JKR Selangor banyak menggunakan teknologi AI terutama dalam kerja penyelenggaraan jalan raya. Melalui anak syarikat Kerajaan Negeri, Infrasel telah menggunakan kenderaan dilengkapi Sistem Pengurusan dan Penyelenggaraan Aset Jalan Raya.

"Kenderaan ini menggunakan kamera boleh pergi ke laluan ditetapkan dan ‘detect’ semua data melibatkan permukaan jalan raya. Kalau dulu kena naik motor berhenti ambil gambar tetapi kini kamera boleh ambil satu data tentang permukaan jalan tersebut.

"Data ini akan keluarkan analisis, lubang, kecacatan jalan raya yang akan masuk ke sistem yang boleh sambung terus ke JKR. Kita boleh nampak di paparan skrin laluan mana permukaan rosak dan AI keluarkan ciri kaedah kawalan," katanya.

Tambahnya, dengan penggunaan teknologi yang digunakan sejak dua tahun lalu membantu proses penyelenggaraan jalan raya sehingga 90 peratus lebih cepat berbanding sebelum ini.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor Ir Shukri Ishak turun padang melihat proses pembaikan jalan di Bukit Kemuning pada Julai 2025. Foto JKR Selangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.