KUALA SELANGOR, 6 OGOS: Jalan di Bagan Pasir, Tanjong Karang yang kerap rosak akibat air pasang besar dan hujan lebat kembali dibuka kepada orang ramai selepas dinaik taraf menggunakan kaedah Sistem Pratuang Skematik (SPS) dari Indonesia.
EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim memberitahu teknologi tersebut pertama kali digunakan di Malaysia dan menjadi projek perintis di Selangor untuk menangani isu jalan rosak di kawasan tanah lembut.
“Jalan ini beberapa kali runtuh akibat ombak dan paras air laut tinggi. Pelbagai kaedah digunakan sebelum ini tetapi gagal, meskipun melibatkan perbelanjaan besar.
“Teknologi dari Indonesia dipilih selepas kajian menunjukkan struktur tanahnya serupa dan mampu bertahan hingga 10 tahun,” katanya ketika melancarkan pembukaan semula jalan itu, hari ini.

Bermula Februari lalu, projek membabitkan baik pulih jalan dan tebing sepanjang 80 meter itu membabitkan kos RM1.8 juta.
Izham memaklumkan, pihaknya akan membawa cadangan perluasan penggunaan kaedah SPS ke mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) bagi pelaksanaan di kawasan berisiko tinggi lain.
“Kaedah ini lebih kukuh, cepat dan kos efektif. Kita akan kemukakan kepada Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta pihak berkuasa tempatan untuk dijadikan panduan,” katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta bagi kerja pengukuhan ban di Tanjong Karang dan Kuala Langat menggunakan kaedah binaan sama.
