SHAH ALAM, 16 JUN: Sebanyak 500 penunggang motosikal terawal berpeluang mengisi petrol percuma bernilai RM10 di stesen minyak Petronas Seksyen 15 di sini, esok.
Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkata bermula 11 pagi, program bersempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pihak berkuasa tempatan itu.
Menurut Shahrin Ahmad, MBSA menyasarkan kumpulan sasar seperti penghantar makanan, penjawat awam, pekerja industri dan pelajar pusat pengajian tinggi di kawasan sekitar.
“Jadi kita jemput pemilik motosikal sekitar Shah Alam yang mempunyai kelapangan masa hadir ke stesen minyak Petronas di Seksyen 15 mulai jam 11 pagi.
“Diharap menerusi program ini kita dapat menyantuni dan membantu mereka mengurangkan kos perbelanjaan khususnya daripada segi mengisi minyak motosikal,” katanya kepada Media Selangor.
Tambahnya, MBSA merancang dua lagi siri program seumpama itu dijalankan sepanjang tahun ini, serta program lain termasuk makan percuma bagi menyantuni komuniti sekitar.
“Program isi minyak percuma tahun ini, kita akan adakan sebanyak tiga siri. Di Seksyen 15 ini, merupakan siri pertama melibatkan kawasan tengah Shah Alam, dua tempat lagi di bahagian utara dan selatan bandar raya ini,” katanya.
Menurutnya sepanjang tahun ini, khususnya Oktober, banyak program dirangka bagi memberi manfaat kepada komuniti sekitar khususnya yang bermastautin di kawasan MBSA.
“Orang ramai boleh ikuti media sosial MBSA untuk lihat program menarik yang dirangka sepanjang tahun ini,” katanya.
Shah Alam dinaik taraf sebagai bandar raya pada 10 Oktober 2000 dan menjadi bandar raya pertama di Selangor menerima pengisytiharan berkenaan.