SHAH ALAM, 24 MEI: Lawatan delegasi Selangor ke Arizona, Amerika Syarikat dilihat mampu memperkukuh kerjasama industri semikonduktor dan pembangunan bakat berkemahiran tinggi bagi menyokong pertumbuhan sektor teknologi negara.
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata lawatan ke wilayah dikenali sebagai “Silicon Desert” itu penting dalam mempercepatkan kerjasama strategik ketika industri teknologi global sedang melalui transformasi pesat.
Menurutnya, fokus utama lawatan berkenaan tertumpu kepada pembangunan teknologi dan bakat menerusi kunjungan ke institusi bertaraf dunia di Arizona.
"Selepas perjalanan selama 31 jam, kami terus memulakan agenda hari pertama dengan memberi fokus kepada dua pemacu utama pertumbuhan industri iaitu teknologi dan bakat menerusi lawatan ke institusi bertaraf dunia.
"Pertumbuhan masa depan Malaysia bergantung kepada keupayaan untuk bergerak lebih jauh dalam rantaian nilai semikonduktor termasuk fabrikasi wafer bahagian hadapan dan pembungkusan cip termaju," katanya menerusi kenyataan Facebook.
Sze Han berkata, delegasi memulakan lawatan di kampus Ocotillo milik Intel Corporation yang merupakan hab utama penyelidikan, pembangunan dan pembuatan di Amerika Syarikat.
"Lawatan ini penting bagi mendapatkan pendedahan mengenai standard operasi serta pembangunan ekosistem vendor yang boleh dijadikan penanda aras untuk diperkukuh di negara ini," katanya.
Tambahnya, Intel juga mempunyai hubungan kukuh dengan Malaysia sejak lebih 50 tahun sebagai tonggak utama ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) negara.
Pada masa sama, delegasi tersebut turut mengadakan lawatan ke Macrotechnology Works di Arizona State University (ASU) bagi meneliti program Train-the-Trainer (ToT) dalam usaha menangani kekurangan tenaga mahir sektor teknologi tinggi.
Beliau berkata inisiatif berkenaan akan diselaraskan dengan Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) bagi membina saluran bakat mampan dan bersedia menghadapi keperluan masa depan industri.
Dalam pada itu, beliau berkata hubungan institusi rentas sempadan dan pembangunan modal insan menjadi elemen penting dalam usaha meningkatkan daya saing Malaysia dalam koridor semikonduktor global.










