SHAH ALAM, 17 FEB: Sebanyak RM200,000 diperuntukkan kepada 80 institusi agama sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik sempena program Ihya’ Ramadan tahun ini.
Ahli Dewan Negerinya Najwan Halimi berkata jumlah berkenaan meliputi agihan kepada semua masjid, surau dan musolla di kawasan terbabit bagi membantu persiapan sepanjang bulan Ramadan.
Menurutnya, selain bantuan kewangan, pihaknya turut mengagihkan kurma Ajwa kepada pengurusan institusi agama sebagai sebahagian usaha menyantuni pimpinan setempat.
“Alhamdulillah ini merupakan program tahunan untuk bulan Ramadan. Kita menyantuni dan meraikan semua pimpinan masjid, surau dan musolla untuk mereka membuat persiapan pengimarahan,” katanya.
Beliau berkata peruntukan itu melibatkan dana DUN serta Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi memastikan setiap institusi dapat merancang pengisian program dengan lebih teratur.

“Jumlah ini melibatkan peruntukan DUN serta MBI. Kita mahu pastikan sambutan Ramadan ini penuh dengan pengisian bermanfaat,” katanya.
Najwan ditemui selepas Majlis Hi-Tea Perdana DUN Kota Anggerik 1447H/2026M bersama pengurusan masjid dan surau di sini hari ini.
Sementara itu, Yayasan MBI menyediakan peruntukan RM4 juta untuk program Ihya’ Ramadan tahun ini dengan memberi tumpuan kepada penganjuran majlis agama di masjid dan surau di seluruh negeri.
Ketuanya Ahmad Azri Zainal Nor berkata dana tersebut bertujuan mengimarahkan Ramadan dengan menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf serta mengadakan majlis berbuka puasa.






