SHAH ALAM, 20 APRIL: Orang ramai berpeluang menjalani saringan kesihatan percuma menerusi program Selangor Saring di Dewan Melati, Seksyen 7, Shah Alam pada 26 April ini.
EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata program bermula jam 9 pagi hingga 3 petang itu memberi fokus kepada pengesanan awal penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, barah, mata dan saringan tambahan.
Rakyat digalakkan untuk membuat pendaftaran di aplikasi SELangkah. Ujian saringan ditawarkan berdasarkan penilaian faktor risiko individu melalui borang saringan awal di aplikasi SELangkah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Pendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi SELangkah dengan empat langkah mudah iaitu:
1. Muat turun aplikasi SELangkah
2. Tekan butang Selangor Saring
3. Isi borang soal selidik
4. Pilih lokasi dan tarikh program
Bagi sebarang pertanyaan lanjut, peserta boleh menghubungi talian hotline Selcare di 1-800-22-6600.
Program Selangor Saring merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu rakyat mengesan penyakit lebih awal, khususnya kepada individu berisiko seperti mempunyai sejarah keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.









