Bukan sekadar lafaz, MB saran rakyat hayati Rukun Negara

21 Mei 2026, 6:38 AM
Bukan sekadar lafaz, MB saran rakyat hayati Rukun Negara

SHAH ALAM, 21 MEI: Rakyat disaran menghayati Rukun Negara secara menyeluruh, termasuk membaca dan memahami latar belakang serta mukadimahnya seperti titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata di situlah terkandung cita-cita besar pendiri negara untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu, demokratik, adil, dan progresif.

"Rukun Negara bukan sekadar lafaz di majlis rasmi, tetapi merupakan falsafah kebangsaan yang harus dihayati dalam kehidupan bernegara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menyeru semua pihak meneliti Perlembagaan Persekutuan yang juga undang-undang tertinggi negara secara jujur dan bertanggungjawab selaras Perkara 4.

Amirudin menambah Pengisytiharan Kemerdekaan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj perlu dihayati supaya sejarah negara tidak diputar belit menurut kepentingan politik sempit.

"Malaysia juga dengan jelas diasaskan sebagai Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

"Oleh itu, sebarang cubaan untuk mengherotkan sejarah negara, menanam kebencian antara kaum, ataupun mempersoalkan kerangka Perlembagaan demi keuntungan politik adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan berbahaya kepada masa depan negara," katanya lagi.

Pada 19 Mei, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru rakyat khususnya generasi baharu untuk menghayati prinsip Rukun Negara yang tertera pada plak monumen di Dataran Selangor.

Sementara itu, dalam kenyataan pagi tadi, Baginda menyeru rakyat pelbagai kaum sentiasa menghormati sensitiviti antara satu sama lain demi memelihara keharmonian dan kestabilan negara.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan semasa yang menyaksikan terlalu banyak pertelingkahan dalam kalangan ahli politik sehingga menimbulkan keresahan rakyat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.