Rukun Negara: Sultan seru generasi baharu hayati prinsip perpaduan

19 Mei 2026, 9:22 AM
Rukun Negara: Sultan seru generasi baharu hayati prinsip perpaduan
Rukun Negara: Sultan seru generasi baharu hayati prinsip perpaduan
Rukun Negara: Sultan seru generasi baharu hayati prinsip perpaduan

SHAH ALAM, 19 MEI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru rakyat khususnya generasi baharu menghayati prinsip asas Rukun Negara dengan hadir ke Dataran Selangor bagi membaca kandungan yang tertera pada Plak Monumen Rukun Negara.

Menerusi kenyataan Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah, plak yang dibina dan dipasang oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor itu mengingatkan rakyat mengenai sejarah kewujudan Rukun Negara yang menjadi asas perpaduan negara.

Baginda turut menzahirkan harapan agar orang ramai yang berkunjung ke lokasi berkenaan memahami dan menghayati nilai terkandung dalam prinsip tersebut.

“Beta telah membiayai sepenuhnya kos bagi pembinaan Plak Monumen Rukun Negara dan tempat duduk ini.

“Beta berharap orang ramai yang berkunjung ke Dataran Selangor khususnya generasi baharu, dapat membaca dan menghayati prinsip asas Rukun Negara ini yang menjadi teras utama kepada perpaduan rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berangkat ke Dataran Selangor bagi melihat sendiri Plak Monumen Rukun Negara yang dibina berhadapan Tiang Bendera Negeri Selangor.

Baginda bertitah pembinaan monumen itu bertujuan mengingatkan rakyat mengenai sejarah kelahiran konsep Rukun Negara yang tercetus susulan tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969.

“Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan sebagai Badan Pemerintah pada ketika itu, telah berunding bersama anggotanya untuk melahirkan konsep Rukun Negara sebagai manifestasi ideologi kebangsaan bagi tujuan pengukuhan perpaduan antara kaum di negara ini,” menurut kenyataan tersebut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.