Bahana puntung rokok undang musibah mikroplastik

21 Mei 2026, 2:00 AM
Bahana puntung rokok undang musibah mikroplastik

SHAH ALAM, 21 MEI: Perbuatan membuang puntung rokok ke longkang, tepi jalan atau kawasan awam lazimnya dianggap remeh tetapi kesannya boleh kembali kepada manusia dalam bentuk lebih berbahaya iaitu mikroplastik dalam tubuh.

Tabiat itu bukan hanya menjejaskan kebersihan, ia juga berisiko mencemar sumber air ekoran bahan kimia dan serpihan plastik halus dalam puntung itu dibawa air hujan ke longkang, sungai dan akhirnya rantaian makanan.

Aktivis Alam Sekitar Amlir Ayat memberitahu puntung itu mengandungi bahan semisintetik plastik yang mengambil masa lama untuk terurai dan mengandungi pelbagai bahan toksik berbahaya.

Presiden EcoKnights dan aktivis alam sekitar Amlir Ayat

Beliau menjelaskan bahan kimia tersebut antaranya tar, nikotin, kadmium, plumbum dan arsenik yang boleh mencemar sumber air serta mengancam hidupan akuatik.

"Apabila hujan turun, bahan kimia ini akan dibawa masuk ke longkang dan sungai sebelum mencemar hidupan air. Apabila ikan, udang atau ketam yang tercemar dimakan manusia, bahan pencemar itu akhirnya kembali semula ke dalam tubuh kita," katanya kepada Media Selangor.

Menurut Amlir, puntung itu boleh menghasilkan mikroplastik apabila ia terurai dalam masa panjang sebelum dimakan hidupan laut dan kembali memasuki tubuh manusia melalui makanan laut.

"Sebenarnya ia memberi kesan besar kerana boleh menghasilkan mikroplastik. Mikroplastik ini dimakan hidupan air, akhirnya masuk ke badan manusia apabila kita makan ikan atau makanan laut," katanya.

Beliau yang juga Presiden EcoKnights memberitahu puntung rokok yang di-buang merata-rata juga menyumbat saliran, mencetuskan banjir kilat selain berisiko menyebabkan kebakaran jika masih berbara ketika dibuang.

"Pendekatan penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi kerana perubahan sikap masyarakat perlu dibina melalui pendidikan, kesedaran dan kempen berterusan.

"Kita tidak mahu orang hanya takut membuang puntung rokok kerana saman. Kita mahu mereka sedar perbuatan itu salah dan memberi kesan kepada orang lain.

"Jika kesedaran ini dibina dari awal, saya percaya dalam tempoh beberapa tahun kita boleh melihat perubahan sikap masyarakat," katanya lagi.

Beliau mencadangkan pelaksanaan kempen yang berterusan melalui media sosial, sekolah dan media bagi mengingatkan orang ramai supaya tidak membuang puntung rokok merata-rata.

Katanya, golongan perokok pula perlu lebih bertanggungjawab dengan menyimpan puntung dalam plastik kecil atau bekas sementara jika tiada tong sampah berdekatan.

"Jangan buang puntung rokok merata-rata. Simpan dahulu hingga jumpa tong sampah. Perkara kecil ini boleh elak pencemaran besar terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia."

Fakta rokok & mikroplastik. GRAFIK FARAH AZILA MUSTAPHA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.