SHAH ALAM, 20 MEI: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pandan dan Setiawangsa tidak akan diadakan susulan peletakan jawatan wakil rakyatnya.
Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata berdasarkan Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka itu.
“SPR menerima pemakluman daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul, melalui surat bertarikh 20 Mei 2026 berhubung status kekosongan luar jangka kedua-dua kerusi berkenaan.
"Berdasarkan kepada Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut.
"Selaras dengan itu, tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.100 Pandan dan P.118 Setiawangsa akan dijalankan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Johari memaklumkan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, berkuat kuasa 18 Mei lalu.
Pada 17 Mei lalu, Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR dan Nik Nazmi (bekas Naib Presiden PKR) mengumumkan keluar parti serta mengambil alih BERSAMA yang ditubuhkan pada 2016.








