KLANG, 20 MEI: Sebanyak 43 premis perniagaan termasuk kelong ikan serta pusat pengumpulan dan pengagihan diesel diperiksa menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di Pulau Ketam di sini, semalam.
Operasi bermula kira-kira jam 10 pagi itu dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bersama Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya serta Pasukan Polis Marin Selangor.
Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Pencegahan) Bahagian Penguat Kuasa KPDN, Aris Mamat berkata operasi berkenaan menumpukan usaha membendung aktiviti penyelewengan bahan api selain memastikan pematuhan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.
Menurutnya, pemeriksaan tertumpu kepada beberapa tangki, bot nelayan serta pusat pengumpulan dan pengagihan diesel di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan kita mendapati, dimana kita menumpukan khusus kepada pemeriksaan ke atas beberapa tangki, bot nelayan serta pusat pengumpulan dan pengagihan diesel.
“Kami juga diberikan penerangan terperinci oleh Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) mengenai kaedah agihan kepada nelayan serta proses pemantauan hasil tangkapan selepas pulang dari laut,” katanya kepada Media Selangor.
Dalam pada itu, Aris berkata, KPDN turut membuka reruai kecil di Pulau Ketam bagi memudahkan peniaga menentusahkan semula penimbang mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972.
Beliau menyifatkan peniaga di Pulau Ketam memiliki kesedaran tinggi terhadap kepentingan kalibrasi alat timbang dengan masing-masing membawa alat sukat bagi penentusahan semula.
“Hasil pemantauan mendapati peniaga di kawasan itu menunjukkan tahap kesedaran tinggi terhadap kepentingan kalibrasi alat timbang, sekali gus mengurangkan risiko penipuan terhadap pengguna.

“Selain itu, bekalan barangan keperluan asas termasuk tepung dan barangan kawalan lain di Pulau Ketam didapati mencukupi dan stabil tanpa sebarang gangguan bekalan,” katanya.
Bagi peniaga daging, Yap Kui Seng, 64, kehadiran KPDN ke Pulau Ketam dengan membuka reruai kecil memudahkan peniaga yang menggunakan penimbang sebagai peralatan utama perdagangan.
“Kalau kita tidak hantar untuk semak, nanti kira-kira akan jadi rugi kalau timbang kurang, kalau terlebih kira pula pelanggan marah.
“Memang setiap tahun saya akan buat penentusahan timbang. Memang ada sedikit bayaran tetapi tidak mahal. Lebih baik buat sebelum rugi,” katanya.
Di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972, peniaga diwajibkan untuk menentusahkan semula alat timbang setiap 12 bulan atau berdepan penalti sehingga RM40,000 atau penjara tiga tahun.
















