SHAH ALAM, 20 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menumpaskan kegiatan pemindahan gas petroleum cecair (LPG) secara haram menerusi serbuan Ops Tiris 4.0 di sebuah premis di kawasan Perindustrian Meru, Kapar, Klang semalam.
Serbuan dijalankan sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.
KPDN Selangor memaklumkan premis tanpa nama itu dipercayai menjalankan aktiviti memindahkan gas LPG daripada tong 14 kilogram (kg) ke tong 50kg atau decanting.
"Semasa serbuan dijalankan, pasukan penguat kuasa turut menahan dua lelaki warga Bangladesh yang berada di premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menemui beberapa tong LPG 50kg dan 14kg sedang menjalankan proses pemindahan LPG dari tong LPG 14kg ke tong LPG 50kg," katanya dalam kenyataan hari ini.
KPDN Selangor berkata, pihaknya turut mengeluarkan notis arahan pengisytiharan stok dan meminta individu terlibat mengemukakan lesen berkaitan, dokumen jual beli serta maklumat pembekal dan pelanggan bagi tujuan siasatan.
"Bagaimanapun individu ditahan gagal mengemukakan lesen seperti yang dikehendaki pihak berkuasa," katanya.
Susulan itu, pasukan serbuan bertindak menyita kira-kira 150 tong LPG yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
“Kesemua barangan yang disita telah diserahkan kepada pegawai stor eksibit KPDN Selangor,” menurut kenyataan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki atau mengawal barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak melakukan kesalahan.
KPDN memaklumkan nilai sitaan barang kawalan dianggarkan RM31,000 manakala sitaan lain bernilai kira-kira RM5,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sekitar RM36,000.








