SHAH ALAM, 20 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menahan dua individu selepas dipercayai menyeleweng diesel subsidi menggunakan ‘fleet card’ di sebuah stesen minyak di Jalan Batu Tiga Lama, di sini semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor, Mohd Hanizam Kechek berkata pihaknya mengesan sebuah lori bonded dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 1 tengah hari ketika menjalankan pemantauan di lokasi terbabit.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati lori berkenaan sedang mengisi bahan api diesel sebelum tindakan lanjut dilakukan anggota penguat kuasa.
“Lori terbabit dikendalikan dua warga tempatan berusia 45 tahun dipercayai sebagai pemandu dan kelindan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, anggota bertugas kemudian menghentikan aktiviti pengisian bahan api dan melakukan pemeriksaan ke atas lori tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati badan lori membawa enam unit Intermediate Container Tank (IBC) masing-masing berkapasiti 1,000 liter yang beberapa unit berisi bahan api disyaki diesel,” katanya.
Mohd Hanizam berkata, pihaknya menganggarkan kira-kira 2,000 liter diesel berjaya diselamatkan daripada diseleweng dalam operasi berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menemukan beberapa ‘fleet card’ dipercayai digunakan bagi transaksi pembelian diesel subsidi.
“Satu daripadanya mempunyai nombor pengenalan berbeza dengan nombor pendaftaran lori yang ditahan.
“Penemuan ini memberikan maklumat awal iaitu wujud perlakuan disyaki salah guna kemudahan fleet card,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua individu terbabit juga gagal mengemukakan dokumen sah bagi memiliki dan membawa barang kawalan berjadual jenis diesel.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dan bahan api dianggarkan mencecah RM120,000 sebelum disita untuk tindakan lanjut.
“Manakala lori dan bahan api disita dan disimpan di stor penyimpanan ekshibit KPDN Selangor,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Peraturan 3(1).










