KPDN Selangor bongkar kegiatan penyelewengan diesel bernilai RM328,000

14 Mei 2026, 2:50 AM
KPDN Selangor bongkar kegiatan penyelewengan diesel bernilai RM328,000

SHAH ALAM, 14 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menumpaskan kegiatan penyelewengan bahan api disyaki diesel menerusi serbuan di sebuah premis di Pandamaran, Klang, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Mohd Hanizam Kechek, berkata operasi bersama polis kira-kira jam 1 tengah hari itu turut menahan tiga lelaki tempatan dipercayai pemandu, kelindan dan penjaga premis berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati ketiga-tiga suspek gagal mengemukakan dokumen sah bagi pemilikan dan penyimpanan barang kawalan berjadual jenis diesel.

“Kes ini membabitkan rampasan kira-kira 25,000 liter bahan api disyaki diesel dengan nilai anggaran RM119,000.

“Jumlah keseluruhan sitaan termasuk peralatan dan kenderaan dianggarkan bernilai RM328,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua barangan sitaan dibawa ke stor penyimpanan ekshibit KPDN Selangor untuk tindakan lanjut.

Hanizam berkata, siasatan awal mendapati premis terbabit dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan diesel secara haram dan mencurigakan.

Katanya, pihak penguat kuasa turut menemukan hos getah bagi saluran bahan api, skid tank, lori tangki serta lori bonded yang membawa tangki berkapasiti 1,000 liter di bahagian belakang kenderaan.

“Ketiga-tiga lelaki berusia bawah 40 tahun itu ditahan untuk dirakam percakapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan,” katanya.

Beliau menegaskan KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang berkaitan barang kawalan bersubsidi.

Sebarang aduan berkaitan penyelewengan barang kawalan boleh disalurkan menerusi WhatsApp KPDN di 019-848 8000, aplikasi Ez Adu KPDN, talian hotline 1-800-886-800 atau portal e-aduan KPDN.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.