SHAH ALAM, 20 MEI: Pemimpin industri antarabangsa melihat Selangor sebagai antara lokasi utama untuk pertumbuhan dan pengembangan perniagaan di Asia kerana mempunyai ekosistem industri yang kukuh, tenaga kerja mahir, jaringan pengangkutan strategik serta persekitaran mesra pelabur yang sesuai untuk pelaburan jangka panjang.
Dalam laporan PricewaterhouseCoopers (PwC) bertajuk Selangor: Malaysia’s Prime Hub for Growth in Asia, syarikat multinasional dalam sektor semikonduktor, automotif dan farmaseutikal mengiktiraf peranan Selangor dalam menyokong inovasi, pembangunan tempatan serta akses pasaran serantau.
Gergasi teknologi dari Belanda, NXP Semiconductors, yang membuka fasiliti pemasangan dan ujian di Malaysia sejak 1972 berkata Selangor kini menjadi nadi penting operasi global syarikat itu.
Hari ini, fasiliti NXP di Petaling Jaya beroperasi di tapak seluas lapan hektar dalam Zon Perdagangan Bebas Industri dan memberi tumpuan kepada pemasangan serta ujian mikroprosesor, mikropengawal, pemproses isyarat digital dan produk frekuensi radio.
Pengarah Urusan NXP, Goon Ben Nee berkata ekosistem Selangor serta sokongan Kerajaan Negeri membolehkan syarikat itu membangunkan operasi mampan dan fungsi perniagaan global.
“Selangor menjadi asas utama pertumbuhan kami dengan menawarkan ekosistem dinamik, jaringan strategik dan persekitaran mesra perniagaan untuk terus berkembang.
“Sepanjang perjalanan ini, Invest Selangor bertindak sebagai pemudah cara yang efektif dalam membantu kami memenuhi keperluan kawal selia dengan lebih lancar serta memastikan pengalaman pelaburan yang baik,” katanya dalam laporan itu.
Beliau berkata asas kukuh di Selangor membolehkan NXP memberi fokus kepada penciptaan nilai ekonomi jangka panjang kepada masyarakat dan negeri.








