SHAH ALAM, 19 MEI: Kejayaan ekonomi Selangor yang kekal menjadi penyumbang tertinggi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dilihat mampu menjadi kekuatan utama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata pencapaian ekonomi negeri perlu terus dipertahankan kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat, malah membantu menjamin kestabilan politik Selangor.
Menurutnya, sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada 2008, Selangor berjaya merekodkan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan dengan hasil pembangunan dikembalikan kepada rakyat secara menyeluruh tanpa mengira kaum.
“Kita tidak pernah bezakan pelaksanaan dasar mengikut warna kulit atau kaum. Kita tidak bergerak mengikut arus sentimen sebaliknya mengambil kira keseluruhan kepentingan dan keperluan semua kaum.

“Jadi untuk PRU 16, Selangor akan tumpu kepada fakta kejayaan ekonomi. Selangor sebagai mesin kuasa ekonomi negara. Jadi keseimbangan ekonomi perlu dikekalkan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya kepada Media Selangor.
Kenyataan itu disokong Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunaraj yang menganggap kejayaan sektor ekonomi mampu menawan hati pengundi kerana ia berkait rapat dengan keperluan rakyat.
Justeru beliau mengharapkan semua pihak bekerjasama dengan pentadbiran untuk terus mencari peluang menambah pelaburan ke negeri ini bagi membolehkan lebih banyak kerja ditawarkan terutama kepada generasi muda.

“Dengan adanya penambahan industri, perkilangan, lebih banyak pekerjaan dapat diberikan kepada warga Selangor. Kita akan jadi negeri maju dan ini dapat jamin kestabilan politik,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor, Dato’ Ir Izham Hashim berkata selain tumpuan kepada sektor ekonomi, Selangor juga perlu menitik beratkan aspek hak semua memandangkan negeri ini menjadi pilihan migrasi pelbagai kaum.
Jelasnya, Selangor melambangkan gambaran Malaysia sebenar, justeru keseluruhan aspek termasuk pendidikan dan kebajikan perlu melibatkan semua kaum, tanpa ada yang tercicir atau tertinggal.

“Pentadbiran sentiasa membincangkan dan melihat apakah dasar dan pelaksanaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat. Ini paling penting di samping kemajuan negeri.
“Selangor negeri kosmopolitan, maju dan miliki pelbagai adat kerana ramai datang mencari rezeki. Jadi momentum ini kita kena kekalkan selain sentiasa menjaga sensitiviti semua kaum dan agama,” katanya.










