TVET-AI mula dilaksana di lima sekolah berasrama penuh tahun ini

18 Mei 2026, 10:43 AM
TVET-AI mula dilaksana di lima sekolah berasrama penuh tahun ini

PUTRAJAYA, 18 MEI: Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini memeterai kerjasama strategik menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Multimedia dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia).

KPM dalam kenyataan memaklumkan MoU bertujuan memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang kecerdasan buatan (AI) di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) itu mula dilaksanakan tahun ini melibatkan lima SBP terpilih sebelum diperluas ke sekolah lain pada masa hadapan.

Lima SBP berkenaan ialah Sekolah Menengah (SM) Sains Banting, Selangor; ⁠SM Sains Setiu, Terenggan; ⁠SM Sains Alor Gajah, Melaka; ⁠SM Sains Kuching, Sarawak; dan ⁠SM Sains Tun Syed Sheh Shahabudin, Pulau Pinang.

Menurut kenyataan itu, kerjasama strategik berkenaan mencerminkan komitmen berterusan KPM dalam memastikan agenda reformasi pendidikan yang memacu kecemerlangan akademik dengan kemahiran teknikal masa hadapan menerusi integrasi AI.

"Langkah strategik ini memberikan nilai tambah signifikan kepada usaha kementerian untuk meningkatkan kebolehpasaran murid melalui penyediaan sijil profesional Huawei Certified ICT Associate–Artificial Intelligence (HCIA–AI) yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa," menurut kenyataan itu.

KPM memaklumkan pelaksanaan program TVET–AI itu juga selari dengan agenda Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 yang memberikan tumpuan kepada pembangunan bakat masa hadapan, pengukuhan ekosistem pendidikan TVET dan kerjasama strategik antara industri dengan akademia.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.