SHAH ALAM, 18 MEI: Polis memburu sekumpulan individu dipercayai membakar suar di atas sebuah Toyota Hilux di tengah Jalan Sultan Ismail, berhampiran sebuah restoran makanan segera di Bukit Bintang, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata kejadian kira-kira jam 2 pagi itu dikesan menerusi video tular di media sosial yang memaparkan beberapa individu menaiki sebuah Toyota Hilux dan dua motosikal jenis scrambler melakukan aksi berbahaya.
Menurutnya, kumpulan terbabit dipercayai berlegar di sekitar kawasan tumpuan pelancong di Bukit Bintang sebelum melakukan aksi yang mengganggu ketenteraman awam, lapor Berita Harian.
“Kita tidak akan berkompromi dengan tindakan yang boleh mengancam keselamatan awam serta mengganggu ketenteraman penduduk, peniaga dan pelancong.
“Pihak polis sudah membuka siasatan mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.
Sazalee berkata pihaknya sudah membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian, namun memerlukan lebih banyak maklumat kerana semua kenderaan terbabit tidak mempunyai nombor pendaftaran.
“Pihak polis menyeru semua individu yang terbabit dalam video berkenaan tampil menyerah diri bagi membantu siasatan, selain meminta orang awam menyalurkan maklumat berkaitan kejadian itu,” katanya.
Beliau berkata siasatan turut dijalankan terhadap kain rentang tertera angka ‘6.6’ yang dipamerkan kumpulan berkenaan seperti dalam video tular itu.
“Kita masih mengumpul maklumat mengenai maksud kain rentang itu. Pada masa sama, kita turut mengesan sebuah kedai pakaian di Dengkil yang disyaki mempunyai kaitan dengan video berkenaan. Pemilik premis akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.








